Tuesday, September 22, 2009

Kami berhak menang - Ferguson



Manchester United berjaya membenam keangkuhan Manchester City selepas mencatat kemenangan 4-3 di Old Trafford malam kelmarin.
Bagaimanapun, pengurus United, Alex Ferguson (gambar) terpaksa berdepan perlawanan kelab berjiran itu dengan cukup mendebarkan.
"Kadangkala kamu akan mendapat jiran yang bising dan kamu terpaksa terus tinggal bersama-sama mereka.
"Kamu tidak dapat melakukan semuanya jika mereka terus mahu bising tetapi apa yang kamu boleh lakukan, seperti yang kami tunjuk hari ini (kelmarin) ialah teruskan dengan hidup kamu.
"Pemain kami tahu tanggungjawab masing-masing dan mereka mempamerkan permainan bertenaga. Itulah jawapan kepada segala persoalan ini.
"Setiap kali kami menjaringkan gol, kami melakukan kesilapan. Namun, kesilapan tersebut telah menjadikan pertemuan setempat ini paling menarik setakat ini," kata Ferguson.
Ditanya manakah lebih digemarinya sama ada menang pertemuan setempat itu dengan jaringan 6-0 atau menang menerusi pertemuan yang menarik, Ferguson berkata, dia lebih suka jika United mengatasi City dengan 6-0.
"Kami telah beraksi cukup baik pada separuh masa kedua. Bagi saya, itu adalah kekuatan sebenar permainan United," katanya.
Pada aksi kelmarin, United mendahului seawal minit kedua menerusi Wayne Rooney sebelum Gareth Barry menyamakan kedudukan pada minit ke-16.
Gol kedua United menyusul hasil tandukan Darren Fletcher pada minit ke-49 tetapi Craig Bellamy menyamakan kedudukan tiga minit kemudian.
Fletcher menanduk gol ketiga United pada minit ke-80 dan Bellamy sekali lagi mengikat kedudukan menjadi 3-3 pada minit ke-90.
Michael Owen muncul wira apabila meledak gol kemenangan United pada minit terakhir masa kecederaan.
"Kami melakukan tiga kesilapan paling teruk yang jarang berlaku pada pasukan kami tetapi akhirnya Owen menjaringkan gol kemenangan yang cukup menarik. Kami berhak menang perlawanan ini," jelas Ferguson.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails