England, Serbia, Sepanyol dan Slovakia mampu menempah tiket ke Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan apabila meneruskan kempen kelayakan zon Eropah esok.
England dan Serbia mempunyai peluang yang begitu cerah, dengan kedua-dua pasukan hanya memerlukan satu kemenangan untuk memastikan kedudukan teratas dan seterusnya layak ke Piala Dunia.
Pasukan bimbingan Fabio Capello akan menentang Croatia di Stadium Wembley, sementara Serbia menanti kunjungan pasukan yang agak merosot, Perancis.
Juara Eropah, Sepanyol dapat memastikan tempat ke Afrika Selatan jika dapat menewaskan Estonia di Merida dan pasukan tempat kedua, Bosnia-Herzegovina gagal menang di tempat sendiri ke atas Turki.
Slovakia akan mara ke Piala Dunia jika mereka menang di Ireland Utara dan perlawanan antara Slovenia dan Poland di Maribor berakhir dengan keputusan seri.
Mara ke Piala Dunia merupakan aksi keempat berturut-turut buat England tetapi jika mereka menewaskan Croatia ia lebih terarah kepada membalas dendam yang menaikkan motivasi mereka.
Croatia menghalang England daripada mara ke Euro 2008 selepas menewaskan mereka 3-2 di Stadium Wembley pada 2007 dan pemain tengah England, Gareth Barry berkata, pemain akan mengambil inspirasi dari kekalahan tersebut.
"Ramai pemain di bilik persalinan tidak akan melupakan malam kekalahan tersebut di Wembley dan kami akan kembali lagi.
"Terdapat beberapa memori tetapi pada ketika itu pengurus yang berbeza dan pasukan yang berbeza walaupun ia masih dalam ingatan kami, kami tetap yakin," kata pemain Manchester City itu.
Kegagalan tersebut dua tahun lalu menyaksikan Capello yang menggantikan McClaren melakukan banyak perubahan termasuk mencatat tujuh kemenangan berturut-turut.
Croatia, agak terdesak untuk mengumpul mata bagi menamatkan saingan di depan pasukan tempat ketiga, Ukraine dan jurulatih Slaven Bilic mendakwa England telah kehilangan ciri-ciri sebuah pasukan yang berkualiti di bawah bimbingan Capello.
"Mereka adalah pasukan yang sangat berbeza, mempunyai kelebihan tetapi juga kehilangan sesuatu dari perlawanan mereka.
"Mereka kehilangan sentuhan England sebenar, sesuatu yang menyebabkan pasukan England sukar untuk bertahan dan beraksi dengan mana-mana pasukan," kata Bilic yang beraksi empat tahun di England untuk pasukan West Ham dan Everton.
Pasukan jiran Balkan Croatia, Serbia akan bertembung dengan Perancis tatkala mereka berada di posisi yang cukup selamat, empat mata mengatasi pasukan bimbingan Domenech dan selangkah ke Afrika Selatan.
Pasukan bimbingan Radomir Antic hanya kurang tiga mata dalam jika mereka seri perlawanan hari ini tetapi Antic berkata, mereka tidak akan beraksi seperti itu untuk berasa lebih selamat.
"Kami tidak berminat dalam mana-mana pengiraan, kami mendapat keputusan yang kami mahukan ketika pertemuan di antara Perancis dan Romania dan sekarang giliran kami untuk membuktikan kehebatan kami
"Kami tahu dengan siapa kami akan bertemu tetapi kami sentiasa meningkat setiap masa dan kami mahu membuat impak dalam bola sepak dunia, bukan setakat layak ke Piala Dunia," kata bekas pengurus Atletico Madrid itu.
Perancis bukan satu-satunya pasukan berada dalam kedudukan merbahaya untuk tersingkir di peringkat kelayakan, Portugal juga mengalami nasib yang sama apabila ketinggalan tujuh mata dengan pendahulu Kumpulan 1, Denmark.
Portugal semakin hampir untuk beraksi di playoff bagi melayakkan diri ke Afrika Selatan tetapi kekalahan kepada pasukan di tempat kedua, Hungary di Budapest esok akan menyaksikan Cristiano Ronaldo dan pemain lain hanya mengharapkan keajaiban bagi mara ke Piala Dunia.
"Kami harus mendongakkan kepala dan terus percaya kepada diri sendiri. Perlawanan masih belum tamat dan apabila ia berakhir, kami harus mempercayainya," kata pengurus Portugal, Carlos Queiroz.
Denmark mampu layak dengan kelebihan tiga mata jika mencatat kemenangan ke atas Albani, sementara pendahulu Kumpulan Dua, Switzerland juga semakin hampir ke Afrika Selatan jika mereka menang di Latvia dan Greece gagal menewaskan Moldova.
No comments:
Post a Comment