Friday, September 4, 2009

Itali yakin buat kejutan


Skuad Itali berlatih menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia Kumpulan 8 menentang Georgia, esok.

Juara dunia, Itali mampu mendahului tujuh negara Eropah ke pusingan akhir bola sepak Piala Dunia di Afrika Selatan dalam beberapa hari lagi.

Belanda merupakan satu-satunya pasukan Eropah yang telah terjamin tempat pusingan akhir dan Itali, Denmark, Slovakia, Jerman, Sepanyol, England dan Serbia berkedudukan baik untuk menyertai mereka.

Kesemua sembilan pemenang kumpulan layak ke pusingan akhir dengan lapan naib juara terbaik memasuki perlawanan penentuan dua pusingan, November ini.

Namun, jurulatih Itali, Marcello Lippi yang pasukannya mengunjungi pasukan terbawah Georgia, esok dan melayani Bulgaria di Turin, Rabu depan dalam Kumpulan 8 tidak mengambil mudah.

"Jika kami bermain baik dan cukup bertuah untuk menewaskan Georgia dan Bulgaria, kami mampu ke Ireland (pada 10 Oktober) dengan satu kelebihan empat mata. Ini hampir satu detik penentuan," katanya.

Juara Eropah, Sepanyol dengan satu rekod sempurna selepas enam kemenangan berturut-turut dalam Kumpulan Lima, turut akan layak jika mereka memenangi perlawanan tempat sendiri menentang Belgium dan Estonia dan Bosnia gagal menewaskan Armenia dan Turki.

Sepanyol, kedua dalam kedudukan dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di belakang Brazil dan di kalangan pasukan pilihan untuk ditabalkan juara dunia, turut berharapkan pengalaman pemain tengah Marcos Senna yang pulih daripada kecederaan urat pelipat lutut.

England juga semakin menghampiri pusingan akhir selepas memenangi tujuh perlawanan awal dalam Kumpulan Enam dan akan layak jika mereka menewaskan Croatia di Wembley, Rabu depan.

England yang menewaskan Croatia 4-1 di Zagreb, setahun lalu, akan keluar untuk membalas dendam kekalahan mengecewakan 3-2 di tempat sendiri pada 2007 yang meragutnya, satu tempat dalam Euro 2008.

Perlawanan ini mendapat rencah tambahan dengan ulasan yang dilaporkan dalam media England oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Croatia, Vlatko Markovic.

Dia dipetik sebagai berkata, ada satu kempen oleh pemain England untuk mencederakan pemain Croatia yang bermain di negara itu gara-gara kecederaan yang dialami Eduardo da Silva dari Arsenal tahun lalu dan Luka Modric dari Tottenham Hotspur minggu lalu.

Jerman, tuan rumah pada 2006, turut disebut-sebut ke pusingan akhir tetapi hanya boleh memastikan tempat jika keputusan memihak mereka.

Walaupun menang enam kali dan seri salah satu daripada tujuh perlawanan Kumpulan Empat, mereka mungkin tidak memastikan tempat lagi jika hanya menewaskan Azerbaijan yang lemah di Hanover, Rabu ini.

Denmark yang membida kepulangan ke Piala Dunia selepas kempunan pada 2006, mampu mencapai matlamat itu jika menewaskan Portugal dan Albania.

Kumpulan 1 bagaimanapun sengit dengan Hungary di tempat kedua masih berjuang bagi satu penampilan tempat pusingan akhir yang pertama selepas 24 tahun.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails