Pengurus Manchester City, Mark Hughes lantang mempertahankan perbuatan Craig Bellamy dalam pertembungan menentang seteru setempat, Manchester United hari Sabtu lalu dengan mendakwa penyerang City itu menjadi mangsa dalam insiden kontroversi dengan penonton di Old Trafford.
Pihak FA dan pihak polis Manchester telah mengadakan siasatan ke atas insiden itu di mana Bellamy dikatakan menumbuk muka penyokong Manchester United yang memasuki padang sebaik Michael Owen menjaringkan gol kemenangan United pada masa kecederaan.
Jika Bellamy didapati bersalah atas tuduhan itu bermakna dia akan digantung sebanyak tiga perlawanan tetapi Hughes telah bersedia untuk mempertahankan penyerangnya itu jika pihak FA mahukan penjelasan.
“Lelaki itu kelihatan agresif menuju ke arahnya dan Craig hanya mahu mengeluarkannya dari padang. Craig hanya menolak lelaki menggunakan tangannya untuk mengeluarkannya. Kita tidak dapat mengagak apa yang berlaku sebenarnya pada situasi itu,” kata Hughes.
Di sebalik keputusan pengadil, Mark Atkinson untuk memberi masa tambahan selama empat minit, Owen menjaringkan gol kemenangan United pada minit ke-6 masa tambahan untuk memberikan kemenangan 4-3 kepada United.
Kemasukan Michael Carrick sebagai pemain gantian dan masa yang terbuang semasa pemain-pemain City meraikan jaringan penyamaan oleh Bellamy berkemungkinan menyebabkan masa kecederaan perlawanan itu dipanjangkan.
No comments:
Post a Comment