Pertembungan antara dua gergasi bola sepak Amerika Selatan, Argentina dan Brazil sentiasa menjanjikan saingan sengit.
Namun, pertemuan kedua-dua pasukan itu pada aksi kelayakan Piala Dunia hari ini diramal penuh mendebarkan.
Jika Brazil menang, skuad Samba itu sudah boleh menarik nafas lega kerana hampir pasti melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan tahun depan.
Sebaliknya, jika Argentina tewas, skuad kendalian Diego Maradona itu dalam situasi tertekan yang memungkinkan juara dunia dua kali itu tidak dapat beraksi pada Piala Dunia buat kali pertama sejak 1970.
"Perlawanan kali ini pasti sengit. Kedua-dua pasukan memburu kemenangan dan saya percaya, Brazil pasti tidak akan memberi ruang kepada kami," kata penyerang Argentina, LIonel Messi.
Untuk rekod, Brazil belum pernah menewaskan Argentina pada saingan kelayakan Piala Dunia sejak tahun 1995.
"Pertemuan antara kedua-dua pasukan sentiasa menjadi bualan peminat. Jadi perlawanan ini pastinya ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat kedua-dua pasukan," kata kapten Brazil, Lucio.
Ketika ini, Brazil yang menghuni ranking No. 1 dunia, mendahului saingan kelayakan Zon Amerika Selatan apabila mengumpul 27 mata.
Chile pula di tangga kedua dengan 26 mata diikuti Paraguay (24), Argentina (22), Ecuador (20), Uruguay (18), Colombia dan Venezuela berkongsi 17 mata.
Hanya empat pasukan terbaik bagi Zon Amerika Selatan ini layak secara automatik beraksi pada pusingan akhir Piala Dunia.
Pasukan yang menghuni tangga kelima Zon Amerika Selatan akan berdepan dengan pasukan di tangga keempat Zon Concacaf bagi memburu satu lagi tiket ke pusingan akhir Piala Dunia.
No comments:
Post a Comment