Jaringan hatrik oleh Nilmar membantu Brazil mengekalkan kedudukannya selaku pendahulu kumpulan kelayakan Piala Dunia 2010 zon Amerika Selatan dengan mengenepikan cabaran Chile 4-2 di Salvador semalam.
Di sebalik kehilangan Felipe Melo yang dibuang padang pada awal babak kedua, Brazil turut cemas apabila Chile berjaya bangkit dari ketinggalan dua gol untuk menyamakan kedudukan pada satu ketika namun mereka membuktikan kehebatan dengan menambah dua gol lagi bagi mencatat satu lagi kejayaan walaupun mereka sebenarnya telah pun layak ke Afrika Selatan selepas menang 3-1 ke atas Argentina minggu lalu.
Chile turut malang apabila penyerang berbakatnya, Alexis Sanchez diarahkan keluar padang pada minit ke-76.
Brazil yang memulakan perlawanan dengan berhati-hati, berjaya mendapatkan dua gol pertama dalam tempoh sepuluh minit. Pada minit ke-31, hantaran Dani Alves berjaya ditolak masuk oleh Nilmar sebelum Julio Baptista menggandakan kedudukan pada minit ke-40.
Pasukan pelawat merapatkan kedudukan pada minit akhir babak pertama hasil sepakan penalti yang disempurnakan oleh Humberto Suazo dan pemain itu sekali lagi menggegar jaring pada minit ke-52 pada ketika barisan pemain Brazil masih terkejut akibat kehilangan Melo tiga minit sebelum itu.
Bagaimanapun, Nilmar membuktikan ketajaman sentuhannya dengan dua gol pantas pada minit ke-73 dan 75 untuk memadamkan kebangkitan yang cuba dijelmakan oleh Chile.
Chile kini kekal memungut 27 mata dan memerlukan satu lagi kemenangan untuk menempah tempat ke Afrika Selatan.
Berikut adalah keputusan penuh kelayakan Piala Dunia zon Amerika Selatan.
No comments:
Post a Comment