Thursday, September 17, 2009

Ronaldo mula bawa hasil bersama Real


GUTI (kanan) meraikan gol kelima Real bersama Ronaldo pada aksi Liga Juara-Juara menentang FC Zurich kelmarin. Real menang 5-2.


Pemain termahal dunia, Cristiano Ronaldo akhirnya memberi pulangan yang berbaloi kepada Real Madrid.
Kelmarin, dia meledak dua gol menerusi sepakan percuma bagi membantu kelab gergasi Sepanyol itu menang 5-2 ke atas FC Zurich pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara.
Pemain sayap Portugal yang berpindah dari Manchester United dengan harga £80 juta (RM459 juta) itu kini memiliki purata lebih satu gol dalam setiap perlawanan buat pasukan barunya itu.
"Apa yang penting sekali ialah memenangi perlawanan pertama dan bermula dengan baik dalam kempen Eropah. Pasukan ini bermain dengan baik dan saya gembira dengan kemenangan ini," kata Ronaldo.
"Ramai yang mengatakan kami adalah pasukan pilihan menjuarai Liga Juara-Juara tetapi kami perlu mengharunginya selangkah demi selangkah. Saya tahu saya akan tetap dapat menjaringkan gol."
Pada aksi kelmarin, Ronaldo meledakkan gol pertama Real menerusi sepakan percuma pada minit ke-27.
Raul menambah gol kedua Real pada minit ke-34 sebelum Gonzalo Higuain melengkapkan gol ketiga pada masa kecederaan babak pertama.
FC Zurich merapatkan jurang dengan dua gol masing-masing menerusi Xavier Margairaz pada minit ke-64 dan Silvan Aegerter (65).
Ronaldo terus mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua peribadinya menerusi sepakan percuma pada minit ke-89 sebelum Guti melengkapkan kemenangan bergaya Real pada masa kecederaan babak kedua.
"Dia (Ronaldo) telah membuktikan betapa pentingnya dia dalam kesemua perlawanan," kata jurulatih Real, Manuel Pellegrini.
"Hari ini (kelmarin) dia menunjukkan kepada kita betapa bagusnya dia dalam sepakan percuma tetapi dia tidak perlu buktikan apa-apa sebagai seorang pemain."

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails