Liverpool kembali semula ke landasan pemburuan kejuaraan liga selepas jaringan hatrik Youssi Benayoun membantu mereka mencatat kemenangan bergaya 4-0 ke atas Burnley di Anfield malam tadi.
Pendatang baru EPL itu memulakan musim ini dengan cemerlang apabila menundukkan Manchester United dan Everton tetapi kini mula mengalami detik membimbangkan apabila tewas kepada Chelsea dan kini kepada Liverpool.
Mereka tidak terikut dengan rentak permainan Liverpool yang menampilkan corak permainan pantas dan kelihatan telah mula melupakan igauan ngeri kekalahan kepada Aston Villa dan Tottenham Hotspur.
Rafael Benitez membuat dua pertukaran dari skuad yang menewaskan Bolton dua minggu lalu, dengan Martin Skrtel mengambil alih tempat pemain pertahanan antarabangsa Greece, Sotirios Kyrgiakos.
Dengan Javier Mascherano mengalami kecederaan otot yang dialaminya ketika tugasan antarabangsa bersama Argentina dan hanya akan kembali pada hari Jumaat nanti, Benayoun disenaraikan dalam kesebelasan utama untuk menggantikan tempatnya.
Percaturan itu berkesan apabila Benayoun menjaringkan gol pertama Liverpool menerusi satu rembatan leret yang menarik pada minit ke-27 dan kemudian menyaksikan rembatannya pada minit ke-41 gagal ditampan kemas oleh Brian Jensen sebelum ditolak masuk oleh Dirk Kuyt untuk gol kedua ‘The Reds’.
Pada minit ke-61, Steven Gerrard berjaya meloloskan diri dari kepungan pertahanan lawan sebelum membuat hantaran leret yang mudah ditolak masuk oleh Benayoun untuk gol ketiga pasukan tuan rumah.
Jaringan hatrik Benayoun muncul pada minit ke-82 selepas dia melepasi perangkap ofsaid pihak lawan, merembat masuk dari jarak dekat menewaskan Jensen untuk gol keempat Liverpool.
No comments:
Post a Comment