Friday, September 11, 2009

Sepanyol, England mara


Wayne Rooney (kiri) dihambat pemain Croatia, Mario Mandzukic pada aksi kelayakan Piala Dunia Kumpulan 6 di Stadium Wembley, London, kelmarin. England menang 5-1.

Juara Eropah, Sepanyol dan juga England berjaya menempah tempat ke pusingan akhir bola sepak Piala Dunia dengan baki dua perlawanan kelmarin di mana kedua-duanya mengekalkan rekod sempurna dalam kelayakan.

Sepanyol merangkul tempat teratas dalam Kumpulan 5 dengan menewaskan Estonia 3-0 dan England menjamin tempat mereka di Afrika Selatan, Jun depan dengan kemenangan 5-1 ke atas Croatia.

Gandingan itu menyertai Belanda sebagai pasukan Eropah yang layak setakat ini.

Kelayakan menerusi kemenangan kelapan berturut-turut Kumpulan 6 buat England tiba hampir dua tahun selepas pasukan Slaven Bilic menang di Stadium Wembley yang sama untuk menyekat England mara ke Euro 2008.

Seperti England tahun lalu, pemenang Piala Dunia 1998, Perancis mungkin terlepas satu kejohanan utama selepas seri kali kedua berturut-turut.

Pendahulu Kumpulan 7, Serbia mengekang Perancis 1-1 di Belgrade untuk meninggalkan mereka ketinggalan dengan empat mata dan baki dua perlawanan.

Portugal mungkin terpaksa bergantung untuk meraih tempat kedua dan satu perlawanan penentuan walaupun pasukan itu menampilkan pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo dan menghidupkan peluangnya dengan menang ke atas Hungary 1-0.

Juara dunia, Itali pula menikmati satu kemenangan 2-0 ke atas Bulgaria untuk cuma memerlukan satu seri saja lagi dalam perlawanan berikutnya untuk layak.

Keputusan yang turut menggembirakan penganjur Piala Dunia, kelmarin ialah kemenangan England dengan pemimpin penganjur Danny Jordaan mengulas kejayaan itu dengan menegaskan kepentingan kehadiran pasukan Fabio Capello yang sarat dengan nama bintang dan 10,000 peminatnya yang akan bertandang.

Walaupun England memerlukan hanya satu saja lagi mata untuk menjamin satu tempat dalam pusingan akhir di Afrika Selatan, ia meluru dengan mendahului 2-0 dalam 18 minit sumbangan penalti Frank Lampard dan tandukan jarak dekat Steven Gerrard.

Tiada jalan kebangkitan buat Croatia selepas rehat apabila Lampard menambah gol ketiga dan Gerrard menanduk masuk satu lagi gol.

Wayne Rooney menjaringkan gol kelima apabila penjaga gol, Vedran Runje mengumpan terus kepadanya selepas Eduardo da Silva dapat menjaringkan satu gol sagu hati buat Croatia yang malang itu.

“Kami amat menakjubkan. Semangat kumpulan. Tumpuan bagi setiap detik. Pergerakan dengan bola. Saya gembira dengan semuanya,” kata Capello.

Croatia kini bakal berharap England membantunya apabila menentang Ukraine di tempat ketiga, bulan depan. Ukraine seri 0-0 dengan Belarus untuk merapatkan jurang dengan Croatia kepada dua mata setelah bermain kurang satu perlawanan dengan baki dua.

Di Merida, Cesc Fabregas, Santi Cazorla dan Juanma Mata menjaringkan gol untuk membolehkan Sepanyol menang ke atas Estonia bagi memastikan penampilan kesembilan berturut-turut kejohanan bola sepak terbesar itu.

“Biarpun perlawanan itu bukan yang terbaik, kami telah layak,” kata jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque.

Satu kemenangan merupakan segala yang diperlukan Sepanyol selepas Bosnia seri dengan Turki beberapa jam sebelumnya dan kekal empat mata di depan pelawat di tempat kedua.

Itali mara lebih rapat ke pusingan akhir selepas Fabio Grosso dan Vincenzo Iaquinta menjaringkan gol untuk membolehkan satu kemenangan 2-0 ke atas Bulgaria yang memberikan juara dunia satu pendahuluan empat mata ke atas Ireland.

Satu seri di Dublin bulan depan bakal melayakkan Itali.

Pemain gantian, Miroslav Klose menjaringkan dua gol untuk Jerman membelasah 10 pemain Azerbaijan 4-0 untuk kekal menerajui Kumpulan 4.

Kemenangan itu memberikan Jerman 22 mata daripada lapan perlawanan, meninggalkannya satu mata di depan Rusia, yang menang 3-1 di Wales.

Jerman dan Rusia bermain pada 10 Oktober di Moscow dalam satu perlawanan yang akan memutuskan pemenang kumpulan itu dan pasukan yang layak secara terus ke Piala Dunia.

Portugal bertambah dua mata di depan selepas tandukan awal Pepe memastikan kemenangan 1-0 ke atas Hungary yang turut memiliki 13 mata.

Perancis ketinggalan dengan satu gol dan seorang pemain di Belgrade selepas Nenad Milijas membawa Serbia mendahului pada minit ke-14 daripada sepakan penalti selepas penjaga gol Perancis, Hugo Lloris menjatuhkan Nikola Zigic dan dibuang padang.

Thierry Henry bagaimanapun menyamakannya 17 minit kemudian selepas meraih satu lantunan daripada penjaga gol Serbia, Vladimir Stojkovic.

Serbia mendahului Kumpulan 7 dengan empat mata di depan Perancis dengan baki dua pusingan.

Serbia memerlukan tiga mata daripada baki dua perlawanannya, menentang Romania di tempat sendiri atau mengunjungi Lithuania untuk meraih satu tempat terus ke Piala Dunia.

Perancis perlu menewaskan Faroe Island dan Austria yang masih memiliki satu peluang dari segi teori untuk meraih satu tempat perlawanan penentuan untuk mengekalkan peluang layak terus.

Dalam Kumpulan 1, pendahulu Denmark meleburkan peluangnya untuk beroleh satu kelayakan terus ke Piala Dunia dengan seri 1-1 dengan Albania.

Jaringan sendiri Ian Azzopardi memberikan Sweden kemenangan 1-0 ke atas Malta yang meningkatkannya tiga mata bersama Denmark dengan dua baki perlawanan.

Pendahulu Kumpulan 3, Slovakia menguatkan peluangnya bagi kelayakan terus dengan menang 2-0 di Ireland Utara.

Slovenia kedua dengan perbezaan gol ke atas Ireland Utara selepas menewaskan Poland 3-0 dan masih mampu meraih tempat teratas dengan memenangi baki dua perlawanan.

Ireland Utara mesti memenangi perlawanan terakhirnya di Czech bulan depan dan berharap Slovenia tercicir daripada perlawanan penentuan.

Pendahulu Kumpulan 2, Swizerland hampir menjamin tempatnya dalam Piala Dunia tetapi cuma mampu seri 2-2 dengan Latvia.

Swizerland berada tiga mata di depan Greece dan Latvia dengan baki dua perlawanan.

Belanda menang 1-0 di Scotland untuk melengkapkan kempen kelayakannya dengan satu rekod sempurna dan mengakhiri harapan lawan untuk mara ke pusingan akhir.

Thorstein Helstad dan John Arne Riise menjaringkan gol dalam babak pertama apabila Norway menewaskan Macedona 2-1 untuk menduduki tempat kedua Kumpulan 9.

Sembilan juara kumpulan Eropah layak dan lapan daripada sembilan pasukan di tempat kedua, mara ke perlawanan penentuan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails