Adebayor
Penyerang Manchester City, Emmanuel Adebayor bakal terlepas pertemuan menentang kelab jiran, Manchester United, Ahad ini selepas City tidak akan mengemukakan rayuan terhadap tuduhannya bertindak ganas.
Menurut City, mereka dengan berat hati menerima hukuman yang dikenakan ke atas pemain antarabangsa Togo itu kerana memijak Robin van Persie ketika menewaskan bekas pasukannya, Arsenal, 4-2, Rabu lalu.
Kes tersebut akan dibicarakan hari ini, dan sekiranya didapati bersalah Adebayor bakal berdepan penggantungan tiga perlawanan, bermula dengan pertemuan menentang United.
Malah, penyerang antarabangsa Togo itu juga berdepan satu lagi pertuduhan - berkelakuan buruk apabila dengan sengaja meraikan jaringannya di depan penyokong Arsenal hingga mencetuskan kemarahan. City diberi tempoh sehingga 30 September untuk mengemukakan rayuan terhadap kes kedua.
Sejurus mengumumkan mereka tidak akan merayu untuk kes pertama, City dalam satu kenyataan berkata: "Adebayor tidak berganjak dengan pendiriannya bahawa dia tidak memijak dengan niat dan bukan sengaja bertindak ganas.
"Dia telah meminta maaf kepada Robin van Persie secara peribadi pada hari kejadian dan meminta maaf kepada orang ramai atas masalah yang timbul akibat insiden itu."
Adebayor, yang sebelum ini menyertai Arsenal dari kelab Divisyen Satu Perancis, Monaco mengakui, emosi menguasai dirinya pada perlawanan itu dan mengaku bertindak "bodoh" apabila berlari ke arah penyokong lawan.
Bagaimanapun penyerang Togo itu juga mendedahkan bahawa dia telah dihina sepanjang perlawanan.
Ketua Eksekutif Liga Perdana, Richard Scudamore berkata, perbuatan Adebayor tidak memberi imej yang baik kepada liga dan bola sepak secara keseluruhan.
Selain bakal terlepas pertemuan dengan United, Adebayor juga terpaksa diketepikan daripada saingan Piala Liga menentang Fulham, Rabu depan dan aksi Liga Perdana bertemu West Ham
No comments:
Post a Comment