Friday, September 25, 2009

Eto'o, Milito julang Inter



Penyerang baru Inter Milan, Samuel Eto'o dan Diego Milito menjaringkan gol pada lima minit pertama ketika menang 3-1 ke atas Napoli pada aksi Serie A kelmarin.
Dengan kekalahan Sampdoria 2-0 di Fiorentina, juara bertahan Inter melonjak ke tangga teratas liga.
Inter mendahului dengan 13 mata, Juventus dan Sampdoria masing-masing 12 mata, manakala Fiorentina dan Parma 10 mata.
Pendatang baru, Parma mengalahkan Lazio yang beraksi dengan 10 pemain 2-1 hasil jaringan Valeri Bojinov dan Nicola Amoruso, manakala AC Milan kalah 0-1 di Udinese menerusi jaringan tunggal Antonio Di Natale.
Dengan dua kekalahan, Milan ketinggalan enam mata kepada Inter.
"Kekalahan ini tidak mencetuskan mood yang bagus namun, saya memberi jaminan suasana di dalam bilik persalinan Milan adalah baik.
"Jaringan pasukan lawan meletakan kami di dalam tekanan di sepanjang perlawanan dan kami berdepan masalah mencari sasaran,'' kata jurulatih baru, Leonardo.
Di San Siro, Eto'o pantas melakukan tindakan susulan bola yang tidak dikawal di depan pintu gol pada minit kedua dan Milito mendapat bola hantaran Maicon untuk menjaringkan gol tiga minit kemudian walaupun dia ofsaid.
Lucio menjadikan kedudukan 3-0 menerusi tandukan pada minit ke-32 untuk jaringan pertamanya bersama Inter sejak berpindah dari Bayern Munich.
Ezequiel Lavezzi membalas satu gol untuk Napoli pada minit ke-30.
Pengurus Inter, Jose Mourinho digantung dari perlawanan kerana mengherdik pengadil pada perlawanan hujung minggu lalu.
Dengan Adrian Mutu diletakkan di bangku simpanan, penggantinya Stevan Jovetic meletakan Fiorentina di depan pada minit ke-25.
Pertahanan Sampdoria langsung tidak mengawal Jovetic untuk pemain itu menanduk hantaran silang Marco Marchionni.
Penyerang Fiorentina, Alberto Gilardino kemudiannya menanduk bola hantaran Juan Manuel Vargas untuk gol pada minit ke-66.
Di Udinese, tandukan pemain pertahanan Alessandro Nesta yang terkena palang merupakan percubaan gol terbaik Milan pada minit ke-34.
Di Natale menjaringkan gol pada minit ke-50 dan Milan terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Mathieu Flamini dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-84.
Selepas disenarai pemain simpanan dalam dua perlawanan, Ronaldinho masuk menggantikan Alexandre Pato di babak kedua.
Francesco Totti menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87 untuk AS Roma seri 3-3 dengan Palermo.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails