Monday, September 7, 2009

Brazil sah ke Piala Dunia


Pemain Brazil meraikan kejayaan mengalahkan Argentina pada aksi kelayakan Piala Dunia 2010 di Stadium Gigante, Rosario, Argentina kelmarin. Brazil menang 3-1.

Luis Fabiano menyumbat dua gol untuk membantu Brazil menundukkan seteru utama, Argentina 3-1 di gelanggang lawan pada persaingan kelayakan Piala Dunia, kelmarin.

Kemenangan tersebut sekali gus mengesahkan kemaraan pasukan Samba itu ke perlawanan akhir di Afrika Selatan, tahun depan.

Sebaliknya, kekalahan kelmarin menyebabkan peluang Argentina mara ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010 seperti bergantung kepada sehelai benang.

Brazil mendahului pertemuan kelmarin menerusi jaringan pemain pertahanan, Luisao, manakala Argentina merapatkan kedudukan melalui jaringan Jesus Datolo.

Juara dunia lima kali, Brazil mendahului kumpulan Amerika Selatan dengan mengumpul 30 mata. Pasukan bimbingan Dunga itu berkelebihan sembilan mata daripada pasukan kelima dan keenam kumpulan, Colombia serta Ecuador yang masih memiliki tiga baki perlawanan.

Empat pasukan terbaik daripada kumpulan tersebut akan layak secara automatik, manakala pasukan di tempat kelima akan bermain di perlawanan playoff menentang tempat keempat daripada zon CONCACAF.

Argentina masih kekal menghuni tempat keempat kumpulan, lapan mata di belakang pendahulu, Brazil. Chile di tempat kedua dan Paraguay ketiga.

Kekalahan kelmarin merupakan tempoh 16 tahun kepada lengkapnya hari malang Argentina setelah dibelasah 5-0 oleh Colombia.

Ia sekali gus menjadikan pasukan juara dunia sebanyak dua kali itu terpaksa menang pada perlawanan playoff untuk mara ke perlawanan akhir sejak melakukannya pada 1994 di Amerika Syarikat.

Peminat tuan rumah mula berteriak nama jurulatih Brazil, Dunga pada minit akhir bagi memprotes taktikal yang tidak berupaya dilaksanakan oleh jurulatih Argentina, Diego Maradona.

Gol pertama Brazil hadir setelah pasukan kebangsaan itu memperoleh banyak peluang untuk menghasilkan jaringan, manakala Argentina pula sekadar membazirkan peluang yang dimiliki.

Sejak sepak mula dilakukan oleh Brazil, Argentina mula menguasai bola dan melancarkan serangan. Argentina mendapat sepakan sudut awal apabila percubaan Carlos Tevez melintasi gawang dan memaksa penjaga gol Brazil, Julio Cesar menyelamatkan bola di atas garisan.

Argentina mula menyusun perlawanan dan percubaan kaki kiri Lionel Messi hampir menghasilkan gol, tetapi benteng Brazil berjaya menghalang percubaan tersebut.

Brazil mula memberi tekanan kepada Argentina apabila peluang pertama yang dimiliki Luisao disempurnakan dengan baik. Pemain pertahanan tinggi lampai Brazil itu menanduk masuk hantaran silang hasil sepakan percuma yang dilakukan oleh Elano dan menumpaskan Mariano Andujar.

Peluang Brazil memperoleh gol seterusnya apabila Andujar gagal menangkap kemas hantaran silang yang dilakukan oleh Kaka dari kiri, sekali gus membolehkan Luis Fabiano menyentuh bola ke jaring lawan.

Pasukan tuan rumah berusaha memberi tekanan bagi mendapatkan gol penyamaan, namun Brazil memastikan kemenangan dua minit selepas jaringan tersebut menerusi tindakan bijak Fabiano.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails