Friday, September 18, 2009

Harimau Muda nyaris jerat Slovakia


AKSI menarik perlawanan antara Harimau Muda dan skuad B-19 Slovakia semalam yang berkesudahan pasukan negara tewas tipis 0-1.



SKUAD bola sepak bawah 20 tahun (B-20) kebangsaan, Harimau Muda membuktikan, jurang dan tahap permainan mereka kini tidak lagi terlalu jauh berbanding pasukan sebaya mereka di Eropah.
Pada perlawanan terakhir sempena latihan selama 18 hari di Slovakia malam kelmarin, Harimau Muda tewas tipis 0-1 kepada skuad B-19 Slovakia menerusi jaringan tunggal Fabian Slancik pada minit ke-57.
Jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee berkata, disiplin tinggi dipamerkan para pemainnya berjaya mengekang Slovakia yang dibarisi pemain-pemain terbaik mereka daripada terus menambah jaringan.
"Pemain muda kita kini bertambah matang ketika berada di atas padang.
"Kita juga sebenarnya ada mencipta beberapa peluang dengan gerakan-gerakan kemas," katanya ketika dihubu- ngi Kosmo! di Slovakia semalam.
Tambah Kim Swee, beliau amat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana memberi peluang kepada Harimau Muda mengadakan lima perlawanan persahabatan di Slovakia.
"Perlawanan bermutu tinggi seperti ini diharap dapat diadakan secara berterusan untuk skuad muda negara ini. Saya percaya ia akan memberi pulangan berfaedah kepada skuad senior kita suatu hari nanti.
"Perbezaan gol dalam setiap perlawanan tidak penting buat masa ini tetapi apa yang mustahak, pemain kita boleh bersaing jika diberi tekanan sekali pun," jelasnya.
Dalam empat perlawanan sebelum ini, Harimau Muda menang 4-0 ke atas B-20 Slovan Levice (3 September), tewas 1-2 kepada B-20 Honved Budapest (8 September), tewas 1-2 kepada B-20 Spartak Trnava (9 September) dan menang 1-0 ke atas B-20 Banska Bystrica pada (15 September lalu.
Menurut Kim Swee, skuad Harimau Muda akan pulang malam ini dan tiba di KLIA, Sepang petang esok untuk para pemain bercuti menyambut Aidilfitri sebelum mereka menyambung semula latihan pada hari raya keempat (Rabu depan).
"Kami seterusnya akan terbang ke Laos pada 30 September untuk Kejohanan Jemputan Pra-Sukan SEA hingga 5 Oktober dan kemudian terus ke Vietnam pula untuk Piala Newspaper bermula 8 Oktober," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails