Wednesday, September 9, 2009

Malaysia sasar emas Olimpik 2012


Muhyiddin Yassin (kanan) dan Ahmad Shabery Cheek pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di Putrajaya, semalam.

Malaysia menetapkan sasaran pingat emas Sukan Olimpik pertama menerusi empat acara dalam temasya berprestij itu yang bakal berlangsung di London pada 2012, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, empat jenis sukan itu adalah badminton, memanah, berbasikal dan terjun akuatik yang disertai oleh 19 atlet negara.

Jelasnya, pemilihan untuk atlet-atlet terbabit akan dibuat berdasarkan pencapaian tertinggi yang pernah dicapai oleh mereka di peringkat antarabangsa.

"Hasrat kita adalah menang pingat emas pertama di Sukan Olimpik 2012 di London.

"Seramai 19 atlet dari empat jenis sukan akan dipilih untuk mencapai sasaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek.

Bagi memastikan misi itu berjaya, Muhyiddin menjelaskan, beberapa program sedang diatur seperti mendedahkan para atlet terbabit dengan pertandingan di dalam dan luar negara selain memilih mereka yang berusia muda.

Selain itu, tambah beliau, program khusus juga akan diatur bagi menarik sokongan rakyat.

Mengenai mesyuarat berkenaan, beliau memberitahu, kerajaan bersetuju untuk menubuhkan Sekretariat Tetap Majlis Sukan Universiti ASEAN (AUSC) pertama yang akan berpejabat di Kuala Lumpur.

Menurutnya, penubuhan sekretariat tersebut akan menjadikan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan sebagai pusat kecemerlangan sukan di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pada mesyuarat itu juga, jelasnya, kerajaan meluluskan dasar pembangunan sukan di IPT bertujuan melahirkan atlet yang berpendidikan tinggi.

Timbalan Perdana Menteri menambah, kerajaan menetapkan sasaran sebanyak 30 peratus atlet negara merupakan lulusan universiti pada masa depan.

"Ada tujuh teras utama dalam dasar ini bagi melahirkan atlet yang seimbang dalam bidang sukan dan akademik," katanya.

Beliau memberitahu, dasar sukan negara juga akan dikaji semula bagi memberi tumpuan kepada proses pembudayaan sukan di samping mengukuhkan integrasi nasional melalui sukan.

Jelas beliau, kertas kerja mengenainya akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails