Friday, October 2, 2009
Gol ke-150 Ryan Giggs
Ryan Giggs menjaringkan gol ke-150 untuk dirinya bersama Manchester United dan menjadi penyumbang kepada penghasilan gol kemenangan Michael Carrick ketika kelab itu mencatat kejayaan 2-1 ke atas Wolfsburg, kelmarin.
Persembahan mantap pemain sayap veteran United itu pada pertemuan tersebut membolehkan mereka mengutip mata penuh dan mendahului Kumpulan B Liga Juara-Juara.
Namun, tandukan Edin Dzeko membantu kelab juara Jerman itu untuk berada di hadapan pada minit ke-56 ketika perlawanan di Old Trafford dilimpahi hujan.
Apa pun, Giggs, 35, kembali menyamakan kedudukan dalam tempoh tiga minit selepas jaringan pendahuluan oleh pasukan pelawat menerusi sepakan percuma yang cantik.
Selepas itu, Giggs yang membuat penampilan pertama bersama United pada 1991 melakukan hantaran sempurna buat Carrick untuk menghasilkan gol kemenangan Red Devils minit ke-78.
“Perkara yang sungguh mengagumkan tentang Ryan (Giggs) ialah dia mempunyai persembahan mengagumkan seperti pemain muda.
“Permainannya sama seperti dia baru sahaja memulakan kerjaya sebagai pemain bola sepak. Dia meneruskan aksi seolah-olah pemain muda menikmati bola sepak dan ia satu perkara yang seronok untuk dilihat,” kata pengurus United, Sir Alex Ferguson.
Meskipun sudah menjadi seorang pemain bola sepak England yang terbaik berjaya dihasilkan, Giggs masih terus merendahkan diri meskipun dia menghasilkan aksi menakjubkan.
“Ia hanyalah satu tendangan percuma yang lemah jika ingin dibandingkan. Namun begitu, kami memperoleh sedikit tuah.
“Gol yang dihasilkan oleh saya tidak melambangkan apa-apa. Meskipun begitu secara jelasnya, saya berbangga untuk melakukannya.
“Namun apa yang lebih penting, kami kembali menemui rentak pada pertemuan ini selepas mereka (Wolfsburg) menghasilkan jaringan pendahuluan.
“Kami telah menunjukkan aksi dan keperibadian hebat untuk kembali bangkit,” kata pemain antarabangsa Wales itu.
Mencatat kemenangan dalam dua perlawanan awal, Red Devils selesa mendahului Kumpulan B dengan kelebihan tiga mata mengatasi Wolfsburg dan CSKA Moscow.
Dalam pada itu, satu lagi pertemuan kumpulan tersebut kelmarin menyaksikan CSKA Moscow mencatat kemenangan 2-1 ke atas Besiktas
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment