Thursday, December 31, 2009

Torres ‘disimpan’

 http://www.egyptianplayers.com/assets/Rafael_Benitez_280x_451090a.jpg

Rafael Benitez mungkin tidak menurunkan penyerang, Fernando Torres pada perlawanan Piala FA menentang Reading Sabtu ini dengan harapan pemain itu cergas untuk membantu Liverpool menghuni kelompok empat pasukan teratas Liga Perdana England.
Torres muncul sebagai pemain Liverpool paling pantas mengumpul 50 gol liga selepas menjaringkan gol ketika menang 1-0 ke atas Aston Villa kelmarin.
Kemenangan itu membawa Reds empat mata dipisahkan dari kelompok empat teratas yang akan layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Begitupun, penyerang Sepanyol itu mengalami kecederaan pergelangan kaki, juga masalah pangkal paha yang dialaminya hampir di sepanjang musim ini.
Benitez akan menilai Torres dalam tempoh beberapa hari ini dan berharap pemain Sepanyol itu cergas bagi mengharungi baki saingan liga musim ini, bermula dengan aksi di tempat sendiri menentang Tottenham Hotspur pada 10 Januari ini.
Perlawanan tersebut mungkin menyaksikan Liverpool kembali mengukuhkan cengkam terhadap pencabar mereka dalam saingan untuk memburu tempat layak ke Liga Juara-Juara.
“Dia mengalami masalah pada pergelangan kaki, juga pada pangkal paha.
“Kami akan menilai perkara ini dan lihat akan akan berlaku. Kami menyerahkan kepadanya, namun kami perlukan dia untuk terus cergas bagi baki musim ini. Itu perkara yang penting,’’ kata Benitez di Villa Park.
Kecederaan Torres diyakini akan pulih tepat pada masanya untuk dia beraksi menentang Spurs nanti, namun ada kecederaan yang lebih membimbangkan buat Liverpool, iaitu Glen Johnson.
Pertahanan kiri England itu meninggalkan Villa Park dengan berjalan menggunakan topang akibat masalah lutut.
Dia akan diawasi sepanjang 24 jam berikutnya, dengan Benitez merasakan pemain itu mungkin perlu menjalani ujian imbasan untuk menilai setakat mana kecederaannya.
Gol kemenangan yang dijaringkan oleh Torres ke atas Villa menyaksikan dia memecah rekod 50 gol Liverpool milik Roger Hunt yang menjaringkan jumlah gol yang sama dalam 72 perlawanan.
Benitez sedar betapa pentingnya Torres dan ketua pasukan Steven Gerrard, pemain tengah berinspirasi kepada skuad England, kepada Liverpool.
“Adalah penting buat kami untuk memastikan Torres dan Gerrard cergas. Jika mereka terus cergas dan boleh beraksi pada kebanyakan baki perlawanan, kami ada peluang yang sangat bagus,’’ kata Benitez, yang terkejut dengan kekecohan ekoran daripada keputusannya yang memberikan jaminan pasukannya akan menduduki empat tempat teratas.
“Sebagai pengurus dalam situasi saya, di kelab seperti Liverpool, apabila kami ditanya seperti itu, saya terpaksa memberi jaminan. Saya terkejut kerana orang bercakap mengenai kenyataan saya.
“Apa lagi yang harus saya katakan? Apa lagi jawapan yang harus saya berikan. Saya perlu menjadi orang pertama yang yakin dan saya harus menyakinkan para pemain.
“Orang berkata saya meletakan tekanan kepada pemain. Apa lagi yang patut saya lakukan? Saya adalah pengurus,’’ kata Benitez.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails