Saturday, December 5, 2009

Bos Chelsea tetap hormati kemampuan Manchester City

Carlo Ancelotti menganggap pertemuan dengan Manchester City sentiasa menjadi keutamaan Chelsea.
Justeru, pertembungan di Eastlands awal pagi esok jelas memberikan tekanan cukup tinggi buat pengurus skuad The Blues itu.
Ancelotti dikritik hebat ekoran strateginya ketika Chelsea tewas kepada Blackburn pada suku akhir Piala Liga, Rabu lalu.
Ini kerana tiga pertukaran yang dibuatnya pada rehat separuh masa pertama menyebabkan Chelsea terpaksa beraksi 10 pemain sehingga waktu tambahan selepas Salomon Kalou cedera pada babak kedua.
Kini, Ancelotti mahu memberi fokus kepada pertemuan dengan City seterusnya mengintai peluang mengekalkan penguasaan lima mata Chelsea di tangga teratas liga.
"Minggu ini, keutamaan kami adalah aksi menentang Manchester City," jelas Ancelotti.
Biarpun tanpa kelibat Kalou yang terpaksa diketepikan dua minggu, Chelsea bakal diperkuat kembali oleh John Terry, Frank Lampard, Petr Cech dan Didier Drogba untuk berdepan City.
Biarpun City semakin tercicir setelah mereka mencatat tujuh keputusan seri berturut-turut, Lampard tetap percaya lawan mereka itu mempunyai kemampuan untuk mencabar kedudukan teratas liga.
"Mereka (City) memiliki barisan pemain untuk menjamin kedudukan ke Liga Juara-Juara. Mereka sebuah pasukan yang baik dan seri dalam tujuh perlawanan pasti membuat mereka lebih bersemangat ketika berdepan kami.
"Saya telah melihat mereka bermain ketika menentang United dan mereka dilihat layak untuk menang. Barisan serangan mereka hebat," kata Lampard.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails