Wednesday, December 2, 2009

Ejen lumayan kerana City

Kelab berbelanja besar Liga Perdana England, Manchester City telah meluluskan pembayaran lumayan kepada ejen-ejennya apabila kelab tersebut berada di kedudukan teratas untuk pembayaran duit kepada ejen bermula Oktober 2008 sehingga September 2009.
Pengumuman tersebut dibuat berdasarkan kenyataan yang disiarkan, kelmarin.
City yang dilihat seakan-akan gagal merangkul kejuaraan Liga Perdana England musim ini telah membelanjakan hampir 150 juta pound (RM841.3 juta) dalam membeli pemain.
Malah kelab tersebut juga membayar hampir 13 juta pound (RM72.9 juta) kepada ejen pencarian pemainnya.
Jumlah pembayaran kepada ejen yang dibuat oleh City itu mengatasi kelab pencabar yang merupakan penyandang juara, Manchester United yang hanya membayar sekitar 1.5 juta pound (RM8.4 juta) kepada ejennya.
Perolehan kewangan yang dikumpul oleh ejen-ejen di Liga Perdana England berjumlah 70.7 juta pound (RM396.4 juta).
Pasukan baru yang dinaikkan ke Liga Perdana England, Burnley menjadi kelab paling sedikit melabur apabila membelanjakan sekitar 500,000 pound (RM2.8 juta).
Ia adalah kali pertama jumlah pembelanjaan daripada kelab-kelab daripada Liga Perdana England dihebahkan, selepas mereka mengikuti contoh yang dilakukan oleh Liga Bola Sepak Amerika Syarikat yang mula menyiarkan laporan perbelanjaan tahunan sejak lima tahun lalu.
Di bawah peraturan baru, kelab-kelab bersetuju untuk mendedahkan perbelanjaan mereka selepas 30 November, setiap tahun.
"Kami sangat gembira dengan perkhabaran tersebut. Menerusi penguasaan baru ini, kelab-kelab akan lebih bersikap telus kepada pasaran perpindahan domestik.
"Buat pertama kali, orang ramai boleh melihat keseluruhan peringkat pelaburan oleh ejen-ejen pencari pemain," kata jurucakap Persatuan Bola Sepak (FA) England.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails