Monday, December 7, 2009

Ferguson bingung isu kecederaan


Darron Gibson (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol bersama-sama Wayne Rooney (kiri) dan Antonio Valencia pada pertemuan dengan West Ham United di Boleyn Ground, Upton Park, London, kelmarin.

Sir Alex Ferguson mengakui dia agak tertekan untuk menyenaraikan empat pemain pertahanan menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Wolfsburg selepas Wes Brown dan Gary Neville terpaksa dibawa keluar ketika Manchester United menang 4-0 bertemu West Ham. Gol menerusi Paul Scholes, Darron Gibson, Antonio Valencia dan Wayne Rooney melengkapkan kemenangan selesa mereka kelmarin, di mana mereka hanya kurang dua mata di belakang pendahulu liga, Chelsea yang tewas kepada Manchester City.
Bagaimanapun kemenangan tersebut berjaya diraih Ferguson walaupun terpaksa melakukan pertukaran di saat-saat akhir apabila Nemenja Vidic tidak menyertai kunjungan ke Upton Park selepas mengalami demam selesema.
Ia memaksa Ferguson menggandingkan Neville dan Brown di bahagian pertahanan tengah, sementara pemain tengah, Darren Fletcher diturunkan ke bahagian pertahanan kanan.
Bagaimanapun dia terpaksa melakukan pertukaran lagi apabila Neville dikeluarkan pada minit ke-34 ekoran mengalami kecederaan pangkal paha yang akan menyebabkan bekas pemain pertahanan England itu tidak dapat beraksi selama beberapa minggu.
Pemain tengah, Michael Carrick telah dimasukkan dari bangku simpanan untuk berganding dengan Brown dan dia sekarang ini hampir pasti meneruskan tugas tersebut menjelang pertemuan dengan Wolfsburg.
Ferguson juga berharap Vidic dapat sembuh untuk bergandingan dengan Carrick sementara pertahanan muda, Ritchie De Laet juga bersedia untuk diturunkan.
"Ia memeningkan kepala saya, kehilangan Vidic kerana demam selesema, kami meletakkan Gary Neville di bahagian pertahanan tengah dan dia hanya dapat beraksi selepas 30 minit.
"Michael Carrick beraksi dengan baik dan selepas itu Wes Brown terpaksa dikeluarkan di minit-minit akhir perlawanan. Saya berharap kami mempunyai empat pertahanan untuk perlawanan Rabu ini. Vidic pasti akan sembuh dan saya akan menggandingkan Michael Carrick dan Nemanja sekali lagi.
"Kami meletakkan Michael di bangku simpanan sebagai langkah berjaga-jaga jika sesuatu perkara berlaku kerana dia mempunyai ketinggian, ketenangan dan berpengalaman.
"Pilihan kami seterusnya ialah menurunkan De Laet tetapi ia agak sukar buatnya kerana tidak beraksi di tempat sendiri dan saya rasa pemain berpengalaman lebih diutamakan.
"Saya memang mahu menurunkannya dalam kesebelasan utama tetapi saya perlu berhati-hati agar tidak membuat kesilapan dan saya gembira dapat melakukannya," kata Ferguson.
Jaringan Scholes pada separuh masa pertama melonjak penguasaan United dan hadir selepas pemain tengah berusia 35 tahun itu memberi petanda bahawa dia akan bersara pada penghujung musim.
Ferguson percaya Scholes beraksi dengan baik dalam masa yang sama memberi ikutan yang baik buat Gibson dan pemain muda lain United.
"Paul Scholes merupakan pemain yang hebat dan dia memainkan peranan dengan baik. Dia memberi sesuatu yang berguna buat kami.
"Darron dan Anderson merupakan pemain muda, kedua-duanya berusia 21 tahun dan akan menjadi pemain yang hebat.
"Bagaimanapun mereka harus menerima Paul Scholes, pemain yang beraksi selama 15 tahun pada peringkat tertinggi merupakan satu contoh yang baik buat mereka," kata Ferguson.
Pengurus West Ham, Gianfranco Zola mengakui pasukannya tidak beraksi dengan baik walaupun ia bukan berpunca sepenuhnya dari Rob Green yang kurang sihat menyebabkan penjaga gol itu muntah di kawasan penalti ketika separuh masa kedua.
"Cara mereka menjaringkan gol memang sangat hebat terutama sekali, dua gol awal.
"Kami cuba untuk memperbaiki bahagian pertahanan sepanjang minggu dan kami berjaya. Gol kedua memang sangat menarik dan sejak dari itu kami cuba mengimbangi perlawanan, kami menerima hukuman di atas serangan balas.
"Pendekatan kami bergerak dengan baik tetapi ia begitu adil untuk mengatakan kami tidak memberi ancaman yang cukup kuat buat mereka. Jangan lupa bahawa mereka adalah penyandang juara dan merupakan pasukan yang hebat.
"Rob Green tidak beberapa sihat pada permulaan separuh masa kedua dan selepas itu dia muntah berdekatan pintu gol. Kami mengambil keputusan untuk mengeluarkannya selepas gol keempat.
"Kami berdepan dengan masalah kecederaan tetapi saya tidak mempunyai banyak pilihan untuk menguatkan pasukan menjelang bulan Januari. Mungkin saya terpaksa turun sendiri beraksi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails