Monday, December 7, 2009

Keputusan Pengadil Penyebab Kekecohan, Kata K. Rajagobal


Zaquan Adha Abdul Razak (kiri) cuba bersemuka dengan pengadil, Kim Jong Hyeok (dua dari kiri) selepas dilayangkan kad merah pada pertembungan sengit Sukan SEA XXV antara Malaysia dan Vietnam yang menyaksikan negara kalah 1-3 di Stadium Utama, Vientiane, semalam.

 Keputusan pengadil perlawanan yang tidak tepat adalah punca berlakunya kekecohan yang melibatkan pemain Malaysia dan barisan pengadil selepas tamat perlawanan bola sepak di antara pasukan Malaysia dan Vietnam, kata jurulatih kebangsaan K. Rajagobal.

Beliau berkata anak buahnya menerima keputusan perlawanan yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3, tetapi merasakan banyak keputusan pengadil Kim Jong Hyeok dari Korea Selatan merugikan Malaysia.

"Malaysia banyak melakukan serangan tetapi bila sahaja pemain saya tiba di depan pintu gol lawan, dalam perebutan, pasti pengadil membuat keputusan yang merugikan kami menyebabkan pemain tertekan," katanya kepada pemberita selepas perlawanan menentang Vietnam yang berlangsung di Stadium Utama, Kompleks Sukan Laos, di sini Ahad.

Beliau meminta Jawatankuasa Pertandingan untuk melihat semula rakaman video perlawanan itu sebelum mengambil sebarang tindakan terhadap pasukannya.

"Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak mungkin dikenakan gantung satu perlawanan selepas dilayang kad merah dan tindakan lain, saya tidak pasti. Tetapi sebelum meninggalkan padang, saya sudah mohon maaf kepada barisan pengadil," katanya.

"Pemain saya masih muda dan terlalu emosional. Sebab itu mereka gagal mengawal kemarahan dan kecewa dengan sikap pengadil," tambahnya.

Kekecohan berlaku sejurus selepas penyerang gantian, Mohamad Zaquan Adha dilayangkan kad kuning kedua, sekaligus kad merah, menyebabkan pemain itu berdepan dengan Kim Jong Hyeok kerana tidak berpuas hati.

Mohamad Zaquan Adha sebelum itu menerima kad kuning pertama selepas dipersalahkan kerana menjatuhkan pemain lawan.

Belumpun sempat pemain Malaysia itu keluar padang kerana dilayangkan kad merah, pengadil terus meniup wisel tamat perlawanan.

Pemain-pemain Malaysia kemudian mengerumuni pengadil dan berlaku tolak menolak menyebabkan pihak keselamatan Laos bergegas ke tengah padang, dan Rajagobal kemudian berjaya menenangkan pemainnya walaupun terdapat beberapa pemain yang masih emosional membaling botol air minuman ke tengah padang.

Perlawanan ini turut disaksikan oleh Chef-de-Mision Malaysia ke Sukan SEA Vientiane, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz dan ketua pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong.

Sementara itu, Malaysia berada di tangga ketiga Kumpulan A selepas mengumpul tiga mata, hasil kemenangan membelasah Timor Leste 11-0 pada Rabu lepas.

Vietnam kini menduduki tangga teratas dengan mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan sementara Thailand di kedudukan kedua dengan empat mata daripada dua perlawanan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails