Sunday, December 6, 2009

Capello mampu tersenyum


PEMAIN England, David Beckham (kiri) memberikan reaksi ketika aktres Afrika Selatan, Charlize Theron (tengah) menunjukkan undian Piala Dunia 2010 sambil diperhatikan oleh Setiausaha Agung FIFA, Jerome Valcke di Pusat Konvensyen Antarabangsa Cape Town (CTICC), Cape Town, kelmarin.

Reaksi pertama Fabio Capello mengenai undian pasukannya dalam Piala Dunia menunjukkan keceriaan selepas diundi untuk berdepan pasukan Amerika Syarikat, Algeria dan Slovenia dalam Kumpulan C tahun depan. "Boleh tahan," katanya sambil mengukir senyuman selepas undian pusingan pertama yang dilihat memberi kelebihan buat pasukannya.
Namun senyuman itu tidak terlalu lama dan pengurus dari Itali itu kembali dengan muka serius, di mana corak yang keras itu berjaya membantu pasukan England dari sebuah pasukan yang gagal melayakkan diri ke Euro 2008 kepada pasukan pilihan di Piala Dunia dalam tempoh kurang dari dua tahun.
Tidak cepat berpuas hati adalah satu seni yang digunakan Capello sebelum undian tersebut selesai dengan mengingatkan pemainnya bahawa sejarah Piala Dunia memberi contoh bahawa pasukan pilihan mampu tersekat di pusingan pertama.
Sebagi pemain, Capello berada dalam sebahagian skuad Itali yang tiba di Piala Dunia 1974 sebagai sebuah pasukan pilihan, bagaimanapun pulang awal selepas gagal melepasi pusingan pertama ketika berada dalam satu kumpulan dengan Argentina, Haiti dan Poland.
"Ada kumpulan yang lebih sukar berbanding kami tetapi saya masih ingat ketika menjadi pemain di Jerman pada 1974, kadangkala anda fikir kumpulan itu mudah tetapi sebenarnya tidak.
"Itu yang akan saya beritahu kepada pemain kerana permainan psikologi yang mereka perlu berdepan di Piala Dunia adalah berbeza dengan permainan lain. Saya tahu berdasarkan pengalaman saya sebagai pemain apabila anda bermain di sini tekanannya dan mentalitinya berbeza," kata Capello.
England mengalahkan Amerika Syarikat dalam perlawanan persahabatan Mei 2008 tetapi setahun selepas itu Amerika Syarikat mempamerkan permainan yang jauh lebih berkualiti menundukkan Sepanyol untuk mara ke saingan akhir Piala Konfederasi.
Capello menyaksikan perlawanan tersebut dan sedar perlawanan pembukaan di Rustenburg pada 12 Jun tahun depan akan menguji aksi awal pasukannya di kejohanan tersebut.
"Amerika Syarikat memiliki kekuatan fizikal dan secara teknikal mereka memang bagus. Saya menyaksikan perlawanan mereka menentang Sepanyol ketika itu mereka menang dan ia bukan perlawanan yang mudah," katanya.
England juga mempunyai pengalaman terdahulu bertemu Slovenia, yang menyebabkan pemain Capello berdepan dengan beberapa masalah sebelum tewas 2-1 di Wembley September lalu dan membuktikan kemampuan menewaskan Rusia dalam perlawanan playoff untuk merebut tempat terakhir ke Piala Dunia.
"Mereka mempunyai taktikal yang bagus, menggunakan banyak hantaran dan cita-cita tinggi. Kami sedar ia juga bukan satu perlawanan yang mudah," kata Capello.
Dalam pada itu, Ketua Pasukan England, John Terry percaya kemampuan sebenar pasukannya akan dilihat pada perlawanan pertama.
"Kami biasa dengan dua pasukan, Amerika Syarikat dan Slovenia dan tahu pemain mereka dengan baik.
"Kami berharap ia dapat membatu kami membuat persiapan yang lebih baik untuk perlawanan tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails