Thursday, December 10, 2009

Misi Hidup Mati Bagi Malaysia





Skuad bola sepak Malaysia akan berdepan dengan cabaran sebenar apabila mereka bertemu juara bertahan Thailand pada perlawanan pusingan akhir Kumpulan A di Stadium Chao Anu Vong di sini Jumaat ini.

Jurulatih kebangsaan K.Rajagobal berkata kemenangan 4-0 ke atas Kemboja semalam menaikkan semula semangat anak buahnya setelah kalah 1-3 kepada Vietnam tiga hari lepas.

"Kemenangan ini memberi kelegaan kepada anak buah saya. Sekarang, saya mahu mereka melupakan Vietnam atau Kemboja kerana Thailand merupakan cabaran sebenar bagi kami," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini.

Beliau berkata Malaysia perlu mengawal ketat Adul Lahsoh, Kiatprawutsawaeo, Suttinun Phukhom (ketua pasukan) dan dua penyerang Thailand Sompong Saleb dan Anawin Jujeen, yang merupakan tulang belakang dan penyerang berbahaya pasukan itu.

"Kalau kami dapat kunci pergerakan pantas penyerang mereka, maka mereka akan menghadapi masalah untuk membolosi pintu gol Malaysia," katanya.

Malaysia perlu mengalahkan Thailand bagi menjamin mendapat tiket untuk mara ke separuh akhir memandangkan Thailand menjadi pendahulu dalam kumpulan berkenaan setelah mengumpul tujuh mata daripada tiga perlawanan, manakala Vietnam menduduki tempat kedua dengan jumlah mata yang sama, tetapi terkebelakang daripada segi jumlah jaringan gol.

Malaysia menduduki tempat ketiga dengan enam mata daripada tiga perlawanan, manakala Kemboja menduduki tangga keempat dengan tiga mata, yang dikumpul daripada tiga perlawanan, sementara Timor Leste, yang kalah semua perlawanan, menduduki tempat paling bawah.

Hanya dua pasukan yang menduduki tangga teratas akan mara ke peringkat separuh akhir.

Mengulas perlawanan Malaysia-Kemboja pada Selasa, Rajagobal memuji S.Kunanlal, K.Gurusamy dan Safiq Rahim yang telah bekerja keras bagi menghasilkan gol.

"Saya nampak seluruh pasukan ini begitu bersemangat. Mereka tahu tugas yang dipikul dan berjaya melaksanakannya dengan cemerlang," kata jurulatih itu.

Gol Malaysia dijaringkan Abdul Manaf Mamat (minit ke-34), Norshahrul Idlan Talaha (minit ke-76), S.Kunanlal (minit ke-81) dan Shafiq Rahim (minit ke-84).

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek percaya skuad Malaysia boleh menewaskan Thailand walaupun di atas kertas, pasukan lawan mereka itu kelihatan agak sukar ditandingi.

"Saya percaya skuad ini mampu membuat sesuatu keajaiban ke atas Thailand, tetapi mereka perlu tenang dan tidak mengikut perasaan serta tidak terlalu menghormati lawan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails