Thursday, January 7, 2010

Veron tolak kembali ke EPL

Pemain tengah Argentina, Juan Sebastian Veron menolak tawaran bernilai 7 juta pound (RM37.9 juta) dari kelab Liga Perdana England, Manchester City untuk kelab Argentina, Estudiantes.
Wakil Veron, Miguel Pires berkata, perancang utama Argentina itu tidak menerima tawaran pengurus City, Roberto Mancini untuk mendapat khidmatnya.
Mancini dan Veron pernah bergandingan ketika bermain bersama kelab Itali, Lazio dan Sampdoria. Mancini kemudiannya menjadi jurulatih Veron di Inter Milan.
Pires dalam satu temu bual menerusi radio kelmarin berkata, City telah mengemukakan tawaran sebanyak 7 juta pound kepada Estudiantes dan menawarkan jumlah yang sama kepada pemain berpengalaman itu.
"Kami menerima faks yang menawarkan tujuh 7 juta pound kepada Sebastian Veron dan jumlah yang sama juga diberikan kepada Estudiantes.
"Bagaimanapun, Sebastian tidak memberi sebarang reaksi dengan tawaran tersebut, begitu juga timbalan presiden kelab," kata Pires kepada stesen radio La Red.
Dalam pada itu, agensi berita DYN memetik Veron sebagai berkata: "Ia bukan soal wang.,"
Sebaliknya, Veron selesa untuk terus bersama Estudiantes.
Veron membantu Estudiantes memenangi kejuaraan Copa Libertadores tahun lalu, dan antara pemain yang paling konsisten dalam skuad kebangsaan Argentina di bawah kendalian Diego Maradona.
Dia turut dipilih sebagai Pemain Terbaik Estudiantes pada perlawanan akhir Piala Kelab Duniayang berlangsung di Abu Dhabi, bulan lalu.
Perlawanan akhir itu bagaimanapun dimenangi Barcelona dengan keputusan 2-1 selepas permainan berlanjutan hingga ke masa tambahan.
Gol kemenangan Barcelona disumbangkan oleh pemain sensasi dunia dari Argentina, Lionel Messi.
Veron yang kini berusia 34 tahun berpindah ke Manchester United pada 2001 dan kemudiannya beraksi bersama Chelsea.
Namun, dia tidak begitu menonjol ketika beraksi bersama dua gergasi bola sepak England itu.
City membelanjakan sejumlah wang yang besar sejak beberapa musim lalu untuk mendapatkan pemain terkemuka dunia seperti Robinho, Carlos Tevez, Kolo Toure dan Emmanuel Adebayor.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails