Thursday, January 7, 2010

Kelab EPL juga tangguh bayar gaji pemain

Masalah kewangan turut melanda kelab-kelab utama di dunia antaranya kelab dalam Liga Perdana England, Portsmouth yang gagal membayar gaji pemain bulan Disember, yang tertangguh buat kali ketiga. Walaupun kenyataan Isnin lalu menyebut para pemain akan menerima gaji bulan Disember, sebanyak 1.8 juta pound (RM98 juta), pegawai Portsmouth memberitahu Persatuan Bolasepak Profesional England (PFA), penangguhan terpaksa dilakukan sekali lagi.
Ketua Eksekutif PFA, Gordon Taylor berkata, pasukan yang berada di tangga tercorot Liga Perdana itu berharap dapat membayar gaji pemain mereka secepat mungkin.
"Kami menjangkakan gaji pemain akan dibayar hari ini (kelmarin) tetapi ia tidak berlaku. Kami telah diberitahu kelab tersebut supaya dapat membayar gaji mereka esok (semalam)," katanya.
Portsmouth memberitahu PFA bahawa penangguhan pembayaran tersebut terpaksa dibuat kerana mereka masih belum menyiapkan kertas kerja selepas satu rundingan pinjaman jangka pendek yang dikatakan mampu untuk melunaskan pembayaran gaji pemain.
Selain masalah gaji, EPL telah memberitahu Portsmouth bahawa kelab itu tidak boleh mendaftar semula Jamie O'Hara sebagai pemain pinjaman, kecuali mereka membelinya dan ia dikatakan tidak akan berlaku ketika pasaran perpindahan pemain dibuka bulan ini.
Pemain tengah Tottenham itu bakal menamatkan tempoh perpindahan 15 Januari ini, tetapi Spurs telah menyatakan mereka senang melihat dia kekal di Pompey.
"Jika pendaftaran pemain itu masih tertangguh Portsmouth tidak akan dapat mendaftarkannya semula," kata wakil dari EPL.
Peguam yang dilantik untuk menyusun kembali hutang mereka, Danile Azougy berkata, kelab tersebut berada dalam keadaan tidak terurus.
"Pertama sekali, kami berharap dapat membayar gaji pemain seperti yang dijanjikan. Bagaimanapun, tiada siapa yang mengetahui keadaan kucar-kacir di kelab ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails