Saturday, January 2, 2010

Carrick tidak sabar jumpa Leeds


Pemain Manchester United, Michael Carrick (kiri) mahu mengangkat kelabnya ke tahap yang lebih baik musim ini apabila berdepan Leeds pada perlawanan Piala FA esok.

Michael Carrick menyatakan dia tidak sabar menanti pertembungan Manchester United dengan Leeds pada perlawanan Piala FA di gelanggang sendiri, esok dan merasakan pasukan bimbingan Alex Ferguson itu mempunyai tahap prestasi baik ketika ini. United yang melangkah ke tahun baru dengan ketinggalan dua mata di belakang pendahulu Liga Perdana England, Chelsea bakal menghadapi peringkat kalah mati Liga Juara-Juara juga aksi separuh akhir Piala Liga menentang Manchester City, minggu depan.
Meskipun United sudah berjaya mencatat pencapaian baik dalam dua kempen tersebut, pemain tengah England, Carrick merasakan United masih belum mencapai tahap terbaik mereka.
Sehingga kini, kelab terkemuka England itu sudah mengalami lima kekalahan di peringkat liga dan dibelenggu masalah kecederaan pemain pertahanan.
Namun permasalahan di bahagian pertahanan dapat diselesaikan apabila gandingan Wes Brown dan Nemanja Vidic sudah mula menunjukkan prestasi mantap.
Ferguson berhasrat menggunakan barisan pemain mudanya untuk bertemu City di persaingan Piala Liga, tetapi dia sebaliknya mahu memilih pemain terbaik untuk menghadapi pendahulu Liga Satu, Leeds.
Leeds pernah berada di divisyen tiga bola sepak England selama tiga tahun, tetapi kini telah menunjukkan perkembangan baik apabila menjadi pesaing utama untuk memburu kejuaraan Liga Satu.
Pertemuan kali ini antara United dengan kelab Yorkshire itu merupakan pertembungan pertama kedua-dua pasukan, setelah Leeds diturunkan daripada persaingan Liga Perdana England pada 2004.
Ia bakal menjadi pertembungan yang sangat dinantikan oleh peminat pasukan pelawat dan kelab tersebut bakal membawa 9,000 peminat setia mereka ke Old Trafford, esok.
Carrick melihat pertembungan dramatik tersebut sebagai satu perkara positif untuknya dalam menghadapi persaingan musim ini.
"Merasai persaingan sengit yang dinantikan adalah salah satu sebab kenapa anda bermain bola sepak.
"Para esaing seolah-olah suka untuk menambah kehangatan persaingan. Ia bakal menjadi satu pertembungan hebat buat peminat, malah ia juga bakal menjadi satu pertembungan bagus untuk pemain-pemain.
"Tidak kira di mana anda beraksi atau apa sahaja suasananya, sama ada ia berpihak kepada pasukan anda atau sebaliknya, ia akan melahirkan rasa teruja untuk beraksi.
"Besiktas merupakan pasukan musuh yang sangat dinantikan oleh kami pada awal musim ini (persaingan Liga Juara-Juara), namun kami berjaya melayan kelab tersebut dengan satu pertembungan menarik.
"Begitu juga dengan Leeds. Kelab itu akan membawa ramai penyokong setia mereka ke sini dan kami sedia menanti kehadiran mereka. Ia bakal menjadi satu pertembungan yang menggegarkan," kata Carrick.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails