Saturday, January 2, 2010

Mancini yakin ubah nasib Man. City

Pengurus Manchester City, Roberto Mancini berharap kejayaan yang dikecapinya di Itali dapat diterjemahkan kepada kelab barunya, apabila memulakan kempen Pusingan Ketiga Piala FA menentang Middlesbrough hari ini.
Dia baru sahaja membimbing kelab Eastlands itu memenangi dua perlawanan awal di dalam kempen Liga Perdana England selepas menggantikan Mark Hughes yang dipecat.
Mancini ternyata mempunyai rekod cemerlang di dalam pertandingan kalah mati di Itali dengan memenangi Piala Itali, enam kali sebagai pemain dan empat kali selaku pengurus di tiga kelab berbeza iaitu Lazio, Fiorentina dan Inter Milan.
Dia juga berjaya memenangi kejuaraan liga bagi tiga tahun berturut-turut di antara musim 2003/04 hingga 2005/06 bersama Inter Milan.
Menurutnya, beliau yakin hasil pengalamannya sebelum ini mampu memberikan kejayaan pertama semenjak tahun 1976 kepada pemilik Man.City, Sheikh Mansour, jutawan dari Abu Dhabi.
''Kami cukup teruja dengan Piala FA dan saya tahu di England, ia merupakan satu pertandingan yang cukup penting."
''Di Itali, kebanyakan pasukan tidak memberi perhatian serius kepada persaingan piala kalah mati kecuali jika sudah melangkah ke peringkat separuh akhir, namun di sini ia ternyata berbeza.
''Adalah menjadi sesuatu yang hebat jika saya dapat membawa kejayaan kepada Man. City, sepertimana pengalaman saya memenangi Piala Itali sebelum ini," katanya.
Namun, tegasnya bagi mencapai misi itu, skuadnya perlu terlebih dahulu memenangi perlawanan menentang Middlesbrough.
Man. City kini berdepan dengan masalah kecederaan pemain yang cukup serius dan mereka bakal kehilangan beberapa tonggak penting Joleon Lescott, Wayne Bridge, Nedum Onuoha, Roque Santa Cruz dan Stephen Ireland apabila membuat kunjungan ke Riverside.
Sementara itu, Kolo Toure dan Emmanuel Adebayor akan mewakili negara masing-masing di kejohanan Piala Negara Afrika.
Bagaimanapun, Mancini enggan mengalah dengan situasi tersebut walaupun ia mungkin akan memberi kesan yang kurang baik untuk menghadapi pusingan awal Piala FA.
''Kami memang tidak memiliki skuad yang besar jadi beberapa orang pemain muda di dalam skuad ini yang telah berlatih bersama skuad utama mungkin akan diberi peluang beraksi," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails