Friday, June 19, 2009

Lawan kami mula guna taktik kotor: Alonso




ALONSO (jersi merah) bertembung dengan pertahanan Iraq, Salam Shaker dalam saingan Kumpulan A di Stadium Free State, kelmarin yang berkesudahan Sepanyol hanya menang 1-0.

BLOEMFONTEIN (Afrika Selatan): Perancang utama Liverpool, Xabi Alonso beranggapan bahawa lebih ramai lawan bakal menggunakan taktik negatif untuk menyekat kemaraan mereka menyedari Sepanyol kini antara pasukan terbaik dunia ketika ini.

Hakikat itu terpancar berpandu kepada gelagat Iraq yang dipimpin Bora Milutinovic dalam saingan Piala Konfederasi, kelmarin yang menggunakan lima pemain di benteng untuk menghalang gempuran berbahaya daripada penyerang kembar, David Villa dan Fernando Torres.

Taktik lawan dari Asia itu berjaya membendung corak menyerang semula jadi Sepanyol sehingga jaringan penting oleh Villa pada babak kedua yang memberi kemenangan 1-0 dan tiket ke separuh akhir.


“Ia sukar untuk mengatasi benteng lima pemain. Tetapi kami tetap gemar bermain dengan pesaing seperti ini untuk mencari jalan merobek masuk dan menjaringkan gol,” kata Alonso yang menjadi sasaran Real Madrid tetapi dipercayai akan terus kekal di Liverpool.

Sepanyol - pasukan dalam ranking teratas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) akan muncul pasukan negara yang pertama untuk memenangi 15 perlawanan antarabangsa berturut-turut andai dapat menewaskan Afrika Selatan, esok dan juga mampu menyamai rekod tanpa kalah Brazil dalam 35 perlawanan.

Apapun, pasukan ini jelas memukau tontonan ketika ini dengan amalan bola sepak satu sentuhan

serta corak menyerang yang membutirkan hasil apabila muncul juara Euro 2008.

Jurulatih Sepanyol, Vicente del Bosque yang mengemudi barisan yang sudah merakamkan 14 kemenangan berturut-turut menghambur pujian ke atas taktik pertahanan Iraq yang berkesan walaupun dia tidak gemar dengan gelagat lawan itu.

“Mereka mempunyai maruah sendiri dan membuat kami sukar mencari rentak dalam perlawanan. Kami bermain mengikut buku dan itulah caranya anda melakukan untuk menembusi pertahanan seperti ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails