Thursday, June 18, 2009

Ronaldo 'Raja Gaji'



Cristiano Ronaldo

Cristiano Ronaldo bakal menjadi penerima gaji tertinggi dengan bayaran 13 juta euro (RM63.7 juta) setahun, sebaik perpindahan dari Manchester United ke Real Madrid selesai, lapor akhbar Marca semalam.

Pemain Terbaik Dunia itu juga sudah melakar sejarah bola sepak dengan bakal menjadi pemain termahal dunia selepas United bersetuju menjualnya ke Real menerusi rekod 94 juta euro (RM451.5 juta).

Menurut Marca, perjanjian Ronaldo bakal menjadikan dia 'Raja Gaji' yang baru, mengatasi rekod Zlatan Ibrahimovic yang menerima bayaran 12 juta euro (RM58.7 juta) dari kelab Itali, Inter Milan.

Bayaran yang diperoleh bintang muda berusia 24 tahun itu di Old Trafford ketika ini adalah 7.5 juta euro (RM36.8 juta) setahun.

Di Real, gaji bersihnya (selepas ditolak cukai) dilaporkan sebanyak 9 juta euro (RM44 juta), jauh lebih tinggi daripada yang dinikmati oleh penyerang veteran, Raul - 6 juta euro (RM29.3 juta).

Menurut penasihat kewangan Ernst and Young, pemain-pemain bola sepak di Sepanyol menikmati cukai istimewa, di mana mereka hanya perlu membayar 24 peratus cukai pendapatan berbanding 43 peratus yang perlu dibayar pemain Eropah lain.

Sementara itu pengerusi Real, Florentino Perez memberitahu akhbar harian Publico bahawa wang yang dibelanjakan untuk membeli Ronaldo dan bintang Brazil, Kaka dari AC Milan merupakan satu 'pelaburan' yang bakal membawa pulangan besar.

Jelas Perez, gergasi bola sepak Sepanyol itu dijangka menikmati keuntungan sehingga 400 juta euro (RM1.96 bilion) dengan memiliki kedua-dua pemain dalam skuad.

Bank Portugal, Espirito Santo antara syarikat korporat terawal menunjukkan respons dengan kemasukan Ronaldo di Real apabila membeli iklan muka penuh dalam Marca, yang menunjukkan pemain itu tersenyum sambil membawa beg tangan. Di bawah gambarnya pula tertera keterangan "Di sinilah wang saya disimpan"

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails