Saturday, June 20, 2009

Chong Wei berjaya elak jumpa Lin Dan


Datuk Lee Chong Wei menepati sasaran dengan melangkah ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia semalam, namun bukan juara Olimpik dan dunia dari China, Lin Dan yang akan menjadi lawannya di Stadium Bung Karno, Senayan hari ini.

Sebaliknya, pemain No. 1 dunia itu bakal menentang seorang lagi pemain China, Chen Jin, yang mengejutkan rakan senegaranya itu 18-21, 21-17, 21-4.

Chong Wei pula tidak berdepan banyak masalah untuk melepasi saingan suku akhir apabila mudah mengetepikan bintang Korea Selatan, Park Sung Hwang 21-9, 21-13.

Jaguh perseorangan negara itu kini berada di landasan terbaik untuk merampas kembali gelaran yang dimenangi pada 2007, sekali gus menebus kekecewaan tersingkir pada pusingan kedua Terbuka Singapura.

Turut melangkah ke separuh akhir perseorangan lelaki adalah jaguh tuan rumah dan naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro yang menyingkirkan pemain Hong Kong, Chan Yan Kit 18-21, 21-17, 21-10.

Sementara itu pasangan negara, Mohd. Fairuzizuan Tazari-Mohd. Zakry Latif mengalami kekecewaan kedua dalam tempoh dua minggu, apabila gagal mempertahankan kejuaraan beregu lelaki Terbuka Indonesia selepas disingkirkan juara Seluruh England, Lee Yong Dae-Jung Jae Sung dari Korea 21-10, 21-15.

Bagaimanapun, cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$250,000 (RM884,000) itu diteruskan oleh beregu utamanya, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan beregu wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Chong Wei ketika ditemui Utusan Malaysia berkata, kemenangan itu memberi keyakinan kepada beliau untuk bermain lebih baik pada perlawanan seterusnya.

"Selepas kekalahan di Terbuka Singapura, saya kini kembali yakin dengan diri sendiri dan dapat bermain dengan baik," katanya.

Mengenai pertemuan dengan Chen Jin, Chong Wei berkata, dia telah lama tidak menentang pemain berkenaan dan akan berbincang dengan jurulatih Rashid Sidek yang melatihnya buat sementara waktu sebelum beliau mendapat jurulatih baru iaitu Hendrawan bulan hadapan.

Dalam pada itu Chong Wei memberitahu, dia juga ada bertemu dengan Hendrawan dan telah mendapat tip-tip daripada bakal jurulatihnya itu.

Ketika ditanya apakah dia gementar jika terpaksa bertemu perseorangan tuan rumah Sony Dwi Koncoro di peringkat akhir, dia berkata, ia tidak akan memberi tekanan kepada beliau.

"Walaupun penyokong Indonesia terkenal dengan semangat mereka, ia tidak akan menjejaskan tumpuan kepada permainan saya," katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails