Friday, June 26, 2009

AS lakar kejutan terbesar



BOLOS... Penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas gagal menahan bola rembatan pemain Amerika Syarikat, Clint Dempsey (kanan) dalam saingan separuh akhir Piala Konfederasi di Bloemfontein, Afrika Selatan, semalam. Gambar kecil menunjukkan pelbagai rakaman aksi perlawanan semalam yang menyaksikan Amerika Syarikat menang 2-0.

Amerika Syarikat melakar kemenangan terhebat mereka dalam tempoh 60 tahun apabila menumpaskan juara Eropah, Sepanyol 2-0 untuk melangkah ke perlawanan akhir bola sepak Piala Konfederasi, semalam.

Jaringan Jozy Altidore dan Clint Dempsey menamatkan rekod dunia Sepanyol yang sebelum ini mencatat 15 kemenangan berturut-turut dan mengakhiri rekod 35 perlawanan tanpa kalah, rekod yang dikongsi bersama Brazil.

Kekalahan Sepanyol kepada Amerika Syarikat, pasukan yang nyaris tersingkir di peringkat kumpulan merupakan kekalahan terbesar dalam sejarah bola sepak sejak beberapa tahun ini.

Begitupun perlawanan semalam meninggalkan sedikit memori pahit buat jurulatih Amerika, Bob Bradley apabila anaknya yang juga pemain tengah, Michael Bradley dibuang padang, tiga minit sebelum tamat permainan.

Bradley merupakan pemain Amerika Syarikat ketiga dibuang padang dalam kejohanan ini dan kini dia bakal terlepas aksi akhir menentang Brazil atau tuan rumah, Afrika Selatan, Ahad ini.

Keseluruhannya, ini adalah persembahan terbaik Amerika Syarikat sejak mengejutkan England 1-0 pada Piala Dunia 1950 di Brazil.

Ia juga merupakan kali pertama mereka berjaya mengalahkan pasukan nombor satu dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), sejak mengalahkan Brazil pada 1998.

Keputusan tersebut lebih bermakna kerana Amerika Syarikat tewas dalam dua perlawanan pembukaan mereka di peringkat kumpulan, dan hanya mara ke separuh akhir selepas membenam Mesir 3-0 dalam saingan terakhir, pada ketika Itali tunduk 0-3 kepada Brazil.

Fakta bahawa Amerika Syarikat kini berada dalam perlawanan akhir merupakan ganjaran kepada keazaman, semangat juang serta semangat sepasukan tinggi yang dipamer setiap pemainnya, sekali gus menggagalkan Sepanyol menambah koleksi kejuaraan.

Pujian juga harus diberikan kepada barisan pertahanan mereka seperti Jay DeMerit, Oguchi Onyewu dan Carlos Bocanegra yang mempamer aksi luar biasa dalam mematahkan serangan Sepanyol, yang dibarisi pemain hebat seperti Fernando Torres, David Villa, Xavi Hernandez, Xavi Alonso dan ramai lagi.

"Kemenangan ini adalah usaha sepasukan. Mengalahkan pasukan hebat seperti Sepanyol adalah satu pencapaian yang sangat besar.

"Kami bermain segigih yang boleh, semua orang memainkan peranan. Sekarang, kami akan mengambil masa beberapa jam untuk berehat sebelum membentuk semula pasukan bagi menghadapi perlawanan akhir. Kami sangat teruja ketika ini,'' ujar Bradley.

Rakan sejawat Bradley, Vicente Del Bosque, yang telah membimbing Sepanyol mencatat 13 kemenangan berturut-turut sejak muncul juara Eropah 2008 berkata, kekalahan sesuatu yang amat pahit untuk ditelan.

"Sudah terlalu lama kami tidak pernah kalah dan kami seperti tidak biasa lagi dengan kekalahan.

"Setiap kekalahan amat menyakitkan. Hari ini, kami memerlukan sentuhan terakhir. Kami punya banyak peluang tetapi mereka (Amerika Syarikat) benar-benar menutup pintu kami,'' kata Del Bosque.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails