Friday, June 26, 2009

Tevez pertimbang tiga tawaran


Carlos Tevez yang menolak untuk kekal bersama juara bola sepak Liga Perdana England, Manchester United masih mempertimbangkan tawaran daripada tiga kelab.

Penasihat penyerang Argentina itu bagaimanapun hanya mendedahkan dua daripada kelab tersebut; Manchester City dan Chelsea tetapi enggan mendedahkan satu lagi kelab yang turut berminat mendapatkan Tevez.

"Sekarang, kami sedang memperhalusi cadangan daripada City, Chelsea dan satu lagi kelab,'' ujar penasihat Tevez, Kia Joorabchian dalam temu bual bersama stesen Radio Del Plata, semalam.

Menurut Joorabchian, keputusan mengenai masa depan Tevez akan ditentukan dalam masa 10 hari lagi selepas dia berbincang dengan pemain itu dan agennya, Adrian Ruocco.

Minggu lalu, Tevez menolak tawaran bernilai AS$41 juta (RM145.9 juta) dengan kontrak lima tahun daripada Manchester United.

Tawaran itu menjadikan kontrak pinjaman dua tahunnya bersama juara England itu ditukar kepada perpindahan tetap.

Dia sebelum ini sudahpun menolak perpindahan ke Liverpool kerana kelab itu merupakan musuh ketat United.

Joorabchian langsung tidak memberi petunjuk ke manakah penyerang Argentina itu akan pergi, musim depan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails