Friday, December 25, 2009

Sylvinho sudah lupakan Hughes


Sylvinho menyeru rakan sepasukan Manchester City agar dapat melupakan pemergian Mark Hughes dan memberikan sokongan kepada Roberto Mancini selain memberi tumpuan kepada saingan liga.

Tonggak pertahanan Manchester City, Sylvinho menyeru rakan sepasukan agar melupakan pemergian bekas pengurus mereka, Mark Hughes. Hughes dipecat Sabtu lalu selepas pasukan itu menundukkan Sunderland 4-3, meskipun tersebut kemenangan berjaya melonjakkan City ke tangga keenam liga.
Pada masa yang sama, kelab Liga Perdana England itu mengumumkan Roberto Mancini sebagai pengurus mereka yang baru.
Ramai yang menganggap layanan yang diberikan kepada Hughes terlalu kejam tetapi Sylvinho meminta semua rakan-rakan di kelab supaya memberi sokongan kepada Mancini apabila bekas pengurus Inter Milan dari Itali itu membimbing mereka untuk perlawanan pertama menentang Stoke City, esok.
“Kadang kala perkara seperti ini boleh berlaku apabila anda bercakap tentang bola sepak di peringkat sekarang, dan sebagai pemain, anda kena menyesuaikan diri dengan cepat.
“Walau apa pun yang berlaku, kami kena cuba melakukan yang terbaik. Kami tidak boleh terlalu memikirkan tentang Mark Hughes, biarpun beliau seorang pengurus yang baik dan telah berusaha yang terbaik untuk kelabnya.
“Bola sepak berubah dengan cepat, dan kita semakin kesuntukan masa,’’ ujar Sylvinho dalam laman web rasmi City semalam.
Kata pemain antarabangsa Brazil itu lagi, sebagai seorang pemain profesional dia dan rakan-rakan sepasukan harus bekerja keras untuk jurulatih yang baru, apatah lagi mereka mempunyai tugas penting dalam masa terdekat ini.
Benteng pertahanan City melepaskan tiga gol dalam setiap tiga perlawanan terakhir mereka, justeru bahagian pertahanan dijangka menjadi tumpuan utama Mancini sebaik memulakan tugas barunya.
Bagaimanapun Sylvinho percaya, Mancini tidak hanya memberi penekanan kepada posisi pertahanan, malah akan menggunakan kepakaran taktikal yang menyeluruh.
“Beliau tidak hanya tertumpu kepada benteng pertahanan semata-mata, beliau seorang yang bijak dalam mengatur taktikal perlawanan kerana itulah yang biasa digunakan dalam Liga Itali.
“Beliau akan berusaha untuk menyelamatkan pasukan dan memastikan kita berada pada posisi yang sepatutnya. Saya rasa, kehadirannya mampu membawa kesan positif kepada kami,’’ ujar Sylvinho lagi.
Dengan pasaran perpindahan pemain bakal dibuka tidak lama lagi, dan pemain seperti Kolo Toure bakal terlibat dalam saingan Piala Negara-Negara Afrika, manakala Nedum Onuoha dan Joleon Lescott cedera, sudah timbul spekulasi bahawa Mancini akan membeli beberapa pemain pertahanan baru, Januari nanti.
Pemilik City, jutawan Abu Dhabi, Sheikh Mansour sebelum ini sudah pun membelanjakan kira-kira 200 juta pound (RM1.09 bilion) untuk membawa masuk pemain ke kelab Eastland itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails