|
|
Ketika Laos mempamerkan keupayaan mereka sebagai tuan rumah, Malaysia pula berjaya meraih pingat pertama semalam menerusi acara taekwondo.
Lee Jeng Yen memberi keceriaan kepada kontinjen negara pada hari perasmian dengan meraih gangsa menerusi acara yang baru diperkenalkan iaitu poomsae.
"Gangsa mungkin satu pencapaian yang sederhana tetapi mengetahui saya adalah penyumbang pingat pertama kontinjen Malaysia di Laos sesuatu yang menggembirakan, apatah lagi saya tidak meletakkan harapan yang tinggi ketika tiba di sini.
"Pembangunan acara poomsae di Malaysia tidak sebaik negara-negara Asia Tenggara yang lain, kami ketinggalan empat tahun, jadi saya harap kejayaan meraih pingat Sukan SEA akan membuka jalan kepada pembangunan sukan ini," kata Jeng Yen.
Upacara perasmian semalam bermula dengan persembahan kebudayaan dan nyanyian tradisional rakyat Loas.
Ini disusuli perarakan masuk kesemua 10 kontinjen negara bertanding, didahului Brunei, Kemboja, Indonesia dan Malaysia menjadi kontinjen keempat yang memasuki stadium.
Atlet terjun, Yeo Keen Nee diberi penghormatan sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara.
Ketua Kontinjen ke Sukan SEA XXV, Datuk Dr. Ramlan Aziz mengetuai perbarisan 85 atlet dan 50 pegawai kontinjen Malaysia memasuki stadium.
Atlet dan pegawai lelaki kontinjen negara memakai baju Melayu berwarna keemasan serta bersongkok manakala atlet serta pegawai wanita memakai baju kurung warna keemasan.
Upacara menaikkan bendera kejohanan dijalankan sejurus Somsawat membacakan pengisyhtiharan perasmian Sukan SEA, diikuti upacara menyalakan obor kejohanan.
Ia disusuli dengan persembahan kesenian dan kebudayaan yang bertemakan lagu rakyat Loas.
Pertunjukan bunga api selama lima minit mengakhiri majlis perasmian di stadium baru dengan kapasiti 20,000 penonton.
Serentak dengan perasmian tersebut, maka bermulalah perjuangan atlet negara untuk memburu 30 hingga 35 emas yang disasarkan pada temasya kali ini.
Sasaran itu bakal dipikul oleh 370 atlet dalam 21 acara.
Renang, terjun, memanah dan olahraga dijangka menjadi penyumbang emas utama selain harapan yang sama dalam acara badminton, snuker & biliard, tinju, berbasikal, bola sepak, golf, judo, karate, silat, petanque, sepak takraw, menembak, ping-pong, tenis, bola tampar, angkat berat dan wushu.
Atlet kita merupakan antara 4,200 atlet dari 10 negara Asean yang merebut 398 pingat emas dalam semua acara.
Tuan rumah, Laos, menyenaraikan kontinjen terbesar iaitu 661 atlet diikuti Thailand (637) dan Vietnam seramai 600 atlet.
Malaysia pada temasya sama dua tahun lalu di Korat, Thailand membawa pulang 68 pingat emas
No comments:
Post a Comment