Beckham ketika di United
Patrice Evra sudah tidak sabar berdepan bekas hero Old Trafford, David Beckham selepas Manchester United diundi bertemu AC Milan di pusingan kedua kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.
Beckham yang juga pemain tengah England yang mula menjulang namanya di United, dijadual beraksi secara pinjaman untuk Milan Januari ini.
Bekham pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara bersama United pada tahun 1999 sebelum beralih ke Real Madrid empat tahun kemudian.
''Saya menghargai jasanya sepanjang bersama United dan saya pasti dia (Beckham) teruja untuk beraksi semula di Old Trafford.
''Selamat pulang tetapi ingat, saya akan pastikan dia tidak akan berdepan dengan laluan mudah. Saya sukakan David sebab dia seorang baik dan lelaki yang hebat.
''Dia (Beckham) seorang profesional dan sebab itu Milan mahukannya. Saya juga percaya ramai rakan-rakan lamanya di sini tidak sabar berjumpa dengannya.
''Bagi saya berjumpa David bukan sebab utama kerana bukan dia sahaja yang hebat dalam Milan tetapi pasukan itu sendiri,'' kata Evra yang dipetik dalam laman web rasmi kelab itu, semalam.
Menjelang pertemuan itu nanti, Evra juga mahu melupakan memori perit ketika United tewas dengan agregat 5-3 kepada Milan pada separuh akhir 2007.
''Saya masih ingat keadaan ketika itu terlalu sedih. Kami menang 3-2 di tempat sendiri tetapi tidak beraksi dengan baik dalam perlawanan seterusnya. Pada perlawanan itu saya tidak turun kerana digantung perlawanan dan hanya menyaksikannya menerusi televisyen.
''Sungguh sedih apabila melihat pasukan anda kalah 3-0. Tetapi kekalahan itu memberikan pengalaman berguna buat kami sehinggalah menewaskan Chelsea menerusi penalti di Moscow pada tahun berikutnya,'' ujar Evra.
Sementara itu, pengurus United, Alex Ferguson berkata, beliau tidak sabar untuk menewaskan Milan selepas ini.
''Kita telah bertemu Milan banyak kali dalam suku akhir dan separuh akhir sebelum ini dan pertemuan selepas tentunya hebat bagi dua kelab ternama ini.
Tambah Ferguson, kenangan pahit ketika tewas kepada Barcelona musim lalu menjadi penyuntik semangat untuk United cemerlang musim ini.
''Kami kalah di perlawanan akhir. Ia ada kali pertama saya tewas dalam Kejohanan Eropah. Kami banyak melakukan kesilapan ketika itu dan saya percaya para pemain kini bersungguh-sungguh untuk ke babak akhir,'' katanya.
Dalam pada itu, penjaga gol, Edwin van der Sar dan pilihan pertama barisan pertahanan kesemuanya terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.
No comments:
Post a Comment