Saturday, December 12, 2009

Everton Mahu Pikat Donovan Secara Pinjaman.



Ketua eksekutif Everton, Robert Elstone mengesahkan yang kelab itu telah berbincang untuk mendapatkan khidmat penyerang Amerika Syarikat, Landon Donovan secara pinjaman pada bulan Januari nanti.

Kelab EPL itu amat berharap dapat memikat Donovan dari LA Galaxy dalam satu situasi yang kelab itu gelar sebagai ‘kontrak jangka pendek’, sama seperti yang dilakukan oleh AC Milan yang mendapatkan khidmat David Beckham.

Musim liga Amerika (MLS) hampir tamat dan keputusan berpindah ke saingan EPL sekurang-kurangnya akan membolehkan pemain itu mengekalkan kecergasannya sambil menguji tahap permainannya di saingan lebih mencabar sebagai persiapan menghadapi pusingan akhir Piala Dunia di Afrika Selatan pada Jun tahun depan.

Everton begitu yakin akan dapat membawa Donovan ke Merseyside pada 2 Januari, yang bermakna pemain itu akan dapat bermain dalam pertemuan menentang Arsenal pada 9 Januari.

Pemain yang menerima anugerah selaku Pemain Paling Bernilai MLS 2009 itu pernah beraksi bersama Bayern Munich dan Bayer Leverkusen tetapi gagal mempamerkan persembahan memberangsangkan dalam saingan Bundesliga.

Jika dia bersetuju bermain bersama Everton, dia akan beraksi bersama rakan senegaranya, Tim Howard dan menjadi pemain Amerika Syarikat terbaru yang menyertai kelab itu mengikut jejak Joe-Max Moore dan Brian McBride.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails