Skuad bola sepak kebangsaan yang membawa pulang pingat emas pada Sukan SEA XXV Laos, meneruskan persembahan menyakinkan apabila mengalahkan Syria 4-1 pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Pasukan bimbingan K. Rajagobal yang menamatkan penantian 20 tahun pingat emas acara bola sepak Sukan SEA di Laos, baru-baru ini menang hasil penalti pada kedua-dua babak yang disempurnakan oleh Shafiq Rahim.
Zaquan Adha Abdul Razak mengukuhkan kedudukan hasil jaringan pada minit ke-77.
K. Gurusamy memadamkan sisa harapan Syria menerusi gol keempat pada minit ke-90.
Pasukan lawan memperoleh jaringan sagu hati juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-63.
Perlawanan semalam merupakan perlawanan persahabatan tunggal yang diharungi oleh skuad kebangsaan yang sedang dalam persediaan untuk perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.
Peluang kita untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2011 sukar apabila gagal mengutip sebarang mata dalam Kumpulan C yang dihuni oleh Uzbekistan dan UAE.
Satu-satunya peluang untuk layak ke pusingan akhir ialah dengan menang besar ke atas UAE. Selepas itu, Malaysia terpaksa mengharapkan UAE kalah besar apabila berdepan Uzbekistan.
Walaupun tiada aksi pantas seperti ketika perlawanan akhir acara bola sepak Sukan SEA XXV menentang Vietnam, jentera serangan skuad kebangsaan yang diterajui Zaquan Adha melancarkan asakan bertali arus.
Malaysia sepatutnya di depan seawal minit kedua apabila Zaquan Adha hanya berdepan dengan penjaga gol lawan tetapi sepakannya jauh tersasar.
Zaquan hampir menebus kehampaan kerana gagal menyempurnakan peluang gol awal apabila berjaya meletakan bola ke dalam gawang Syria pada minit ke-15 tetapi bola lebih awal telah keluar dari garisan gol.
Bermula asakan dari bahagian tengah, Norshahrul yang membawa bola sehingga ke kawasan penalti dijatuhkan pada minit ke-30 sehingga memberikan penalti kepada skuad Rajagobal.
Shafiq Rahim yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan penalti, tenang memperdaya penjaga gol lawan.
Dominasi Malaysia berterusan di babak kedua namun sekurang-kurangnya tiga peluang gol dalam tempoh 10 minit pertama selepas bermain bersambung dihampakan oleh penyudah tumpul.
Mirip gerakan yang membawa sepakan penalti pertama yang memberikan gol awal kepada skuad negara, Norshahrul sekali lagi dijatuhkan di dalam kawasan penalti pada minit ke-62.
Shafiq sekali lagi tidak mengecewakan hampir 3,000 penyokong apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti.
Zaquan mencatat nama sebagai penjaring menerusi jaringan pada minit ke-77 sebelum Gurusamy melengkapkan kemenangan bergaya hasil jaringan pada minit ke-90.
Confirmed: Our Player of the Match at Everton
11 hours ago
No comments:
Post a Comment