Paul Robinson muncul wira Blackburn Rovers apabila menjadi penghalang kepada Chelsea untuk mara ke separuh akhir Piala Liga. Robinson berjaya menyelamatkan sepakan penalti Gael Kakuta, sekali gus memberi kemenangan 4-3 Blackburn ke atas Chelsea pada aksi suku akhir Piala Liga awal pagi semalam.
Sebelum itu, kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada aksi yang berlangsung di Ewood Park.
Nikola Kalinic, Brett Emerton dan Benni McCarthy masing-masing meledak satu gol buat Blackburn.
Skuad The Blues pula memperoleh gol menerusi jaringan Didier Drogba, Salomon Kalou dan Paulo Ferreira.
Pada aksi di gelanggang lawan itu, pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti melakukan lapan perubahan dalam barisan pemainnya yang menewaskan Arsenal 3-0, Ahad lalu dan jelas sekali ia memakan diri.
Ancelotti mengarahkan Kakuta, 18, mengambil sepakan penalti kelima Chelsea, namun sepakannya itu terus ke dakapan Robinson.
"Saya ambil risiko dengan menurunkan semua pemain muda pada babak pertama kerana saya ingat ia memberi kebaikan kepada kami.
"Kakuta dan Jeffrey Bruma bermain dengan baik dan mereka ada masa depan yang cerah dalam pasukan kerana mereka memiliki kualiti yang bagus.
"Ia satu perlawanan yang berguna bagi pemain muda ini dan saya gembira dengan kemampuan mereka," kata Ancelotti.
No comments:
Post a Comment