Manchester United mahu menjadikan Old Trafford sebagai saksi kejayaan mereka meraih kejuaraan Liga Perdana England buat kali ke-18 apabila bertemu Arsenal, hari ini.
Tanpa mahu menunggu perlawanan terakhir menentang Hull City di tempat lawan pada 24 Mei ini, United merasakan gelanggang keramat itu adalah tempat paling sesuai untuk berpesta lebih awal.
"Semuanya nampak baik untuk kami berbuat demikian. Pernah kami melakukannya sekali dengan meraih juara liga di tempat sendiri.
"Jadi menarik rasanya jika dapat lakukannya sekali lagi. Cuma jangan terlalu ghairah sudahlah kerana Arsenal bukan calang-calang pasukan.
"Masih ada tugas berat yang perlu kami selesaikan," ujar pemain tengah, Michael Carrick.
Kemenangan 2-1 ke atas Wigan Athletic Rabu lalu menyaksikan pasukan bimbingan Alex Ferguson ini hanya perlu seri sahaja ketika menentang Arsenal.
Namun, jika mereka tewas sekali pun, United masih mempunyai peluang mencari satu mata itu apabila menentang Hull City.
Tumpuan sudah pasti kepada Carlos Tevez yang mungkin beraksi buat kali terakhir buat United sebelum meninggalkan kelab itu.
Tevez sedang berada pada prestasi terbaik ketika ini apabila kerap menjaringkan gol penting dalam perlawanan terbaru United dan ini membuat Carrick sendiri mahu pemain dari Argentina itu dikekalkan.
"Dia pemain yang hebat kerana sejak berada di sini, gol yang dijaringkannya sentiasa memberi makna yang besar kepada kami.
"Kalau boleh kami tidak mahu kehilangan pemain sepertinya dan harap dia dapat terus bersama kami di kelab ini," tegas Carrick.
Bagaimanapun, Ferguson lebih mementingkan kemenangan berbanding daripada memikirkan tentang Tevez ketika menentang Arsenal nanti.
Ferguson yang sedang memburu kejuaraan liga ke-11 bersama United mahu pemain-pemainnya melakukan persiapan rapi untuk perlawanan itu.
"Kami tahu betapa hebatnya mereka (Arsenal). Jadi kami akan menggunakan pendekatan sama seperti pernah kami gunakan sebelum ini," ujar Ferguson.
Bagi Arsenal pula, ini adalah peluang terbaik mereka membalas dendam selepas disingkirkan United di separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah, baru-baru ini.
Kekalahan 1-4 secara agregat itu cukup memalukan Arsenal walaupun tempat ke kelayakan Eropah musim depan sudah pun terjamin.
"Memang United di ambang kejuaraan liga tetapi kami boleh melewatkannya. Kami akan bermain untuk maruah agar kami terus dihormati," kata pengurus, Arsene Wenger.
United dijangka turun tanpa Rio Ferdinand di bahagian pertahanan kerana masih cedera pangkal paha. -
No comments:
Post a Comment