Tuesday, May 12, 2009

Ferguson tidak mahu bincang kontrak Tevez


TEVEZ (kiri) merembat bola masuk ke gawang City dalam saingan EPL di Stadium Old Trafford, kelmarin. United menang 2-0.




Pengurus United tegaskan tiada masalah dengannya

Pengurus Manchester United, Sir Alex Ferguson enggan membincangkan mengenai masa depan Carlos Tevez selepas penyerang Argentina itu menjaringkan gol untuk meninggalkan kelabnya di ambang merangkul mahkota kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Tevez kelihatan semakin kecewa selepas gagal mendapatkan tempat tetap dalam perancangan Ferguson dan memberikan petunjuk bakal meninggalkan Old Trafford apabila perjanjian pinjamannya tamat pada musim panas.

Warga Amerika Selatan itu meraikan jaringannya ketika membantu The Red Devils merakamkan kemenangan 2-0 ke atas pasukan tetangga, Manchester City di Old Trafford, kelmarin dengan berlari ke tempat penyokong utama, berdekatan dengan tempat duduk Ferguson.

Dia kemudian mendekatkan telinga ke arahnya dengan tangan ketika penyokong melaungkan kata-kata “Fergie, Fergie sign him up” yang bermaksud mendesak pengurus itu mengekalkannya di United buat semusim lagi.

Namun, pengurus United itu enggan memberi butiran lanjut mengenai pemain itu, yang sudah menjaringkan 14 kali musim ini.


Dia menegaskan dia tidak mempunyai masalah dengan gaya sorakan Tevez tetapi ketika ditanya sama ada terdapat penjelasan mengenai masa depan Tevez, Ferguson bingkas marah: “Saya tidak mahu memasuki babak perbualan itu.”

Kemudian dia menambah: “Tiada apa yang berubah. Dia adalah pemain Manchester United. Peminat menyukainya kerana dia berusaha bersungguh-sungguh. Asalkan dia terus menjaringkan gol, saya tidak mempunyai masalah dengan itu.”

Cristiano Ronaldo meletakkan United pada landasan kemenangan liga keenam berturut-turut dengan membuka jaringan dengan sepakan percuma menakjubkan sebelum percubaan Tevez pada detik rehat.

Namun, Ronaldo kelihatan tidak percaya apabila dia digantikan pada separuh masa pertama, pemain sayap Portugal itu menggelengkan kepalanya lama selepas meninggalkan padang.

Ferguson enggan mengkritik pemain tersebut atas sikap biadap yang ditunjukkannya secara terang-terangan itu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails