Saturday, May 16, 2009

Piala Sudirman: Lin Dan, Chong Wei jadi tumpuan



Lee Chong Wei

Kalah atau menang, pertemuan dua pemain terbaik dunia, Lin Dan dan Lee Chong Wei pastinya menjadi tumpuan utama apabila China dan Malaysia bertemu pada separuh akhir Piala Sudirman hari ini.

Biar pun peluang Malaysia untuk mengatasi tuan rumah terutama di bumi China sendiri dilihat amat sukar, namun kemenangan Chong Wei sebenarnya lebih penting untuk disaksikan.

Selepas tewas di Seluruh England kepada Lin Dan Mac lalu, Chong Wei bangkit dengan menundukkan pemain No. 1 dunia di Terbuka Jerman seminggu selepas itu.

Kini Piala Sudirman menemukan kedua-dua pemain itu sekali lagi tetapi rekod pertemuan ketika beraksi di China ternyata memihak kepada Lin Dan.

Buktinya, Chong Wei tewas di Sukan Olimpik Beijing dan Terbuka China tahun lalu selepas tenggelam dalam sorakan penyokong tempatan.

Persoalannya, mampukah Chong Wei mengatasi tekanan yang sama di Guangzhou kali ini?

Yang pasti jika Chong Wei menang sekali pun ke atas Lin Dan, belum tentu Malaysia boleh menang ke atas China.

Piala Sudirman adalah acara berpasukan yang menggabungkan keseimbangan kekuatan antara pemain lelaki dan wanita.

Ini bermakna kekuatan pemain wanita perlu diambil kira dan berdasarkan prestasi semasa, Wong Mew Choo juga mampu menyumbang mata untuk skuad negara.

Selain Chong Wei dan Mew Choo, pasangan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mampu melengkapkan kemenangan Malaysia untuk mengejutkan China.

Berdasarkan congakan atas kertas, menerusi acara perseorangan lelaki, wanita dan beregu lelaki sahaja kita mampu mengutip mata.

Pengurus pasukan, Datuk Maijol Mahap sendiri mengakui, China memang menjadi pilihan untuk menang tetapi jika tiga acara itu berjaya dikuasai pemain negara, Malaysia boleh melakukan kejutan.

"Kita akan turun sebagai bukan pilihan. Namun itu tidak bermakna kita sudah mengalah sebelum berjuang.

"Ini adalah separuh akhir pertama buat Malaysia yang tentunya cukup istimewa. Jadi kita akan cuba untuk menjadikannya lebih istimewa," jelasnya.

Satu lagi separuh akhir Piala Sudirman akan mempertemukan Korea Selatan (juara Kumpulan B) dan Indonesia (naib juara Kumpulan A).

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails