Friday, May 15, 2009

Barcelona juara Copa del Rey







Sasar jadi kelab Sepanyol pertama raih tiga trofi dalam semusim

Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk meraih kemenangan 4-1 ke atas Athletic Bilbao bagi rekod gelaran ke-25 Copa del Rey kelmarin.

Jaringan minit ke-57 Lionel Messi disusuli ledakan Bojan Krkic dan Xavi Hernandez mengesahkan kemenangan yang berhak buat barisan Catalan itu meletakkan mereka pada landasan menjadi kelab Sepanyol pertama untuk meraih tiga trofi dalam semusim.


Kejayaan domestik pertama Barcelona sejak 1998 juga menamatkan kemarau piala sejak merangkul gelaran berganda Liga Juara-Juara pada 2006.


Kapten, Carles Puyol menerima trofi daripada Raja Juan Carlos sebelum mengetuai rakan sepasukannya mengelilingi Stadium Mestalla diiringi sorakan penyokong.

"Ia bukan persoalan membebaskan diri daripada tekanan," kata jurulatih, Pep Guardiola mengenai tekanan yang dihadapi Barcelona untuk melengkapkan permainan cantik mereka dengan gelaran.

"Kami bermain dengan baik. Ia adalah hari yang indah."

Guardiola juga enggan menerima pujian atas kejayaannya mengemudi pasukan itu ke trofi pada musim pertamanya.

"Pasukan ini berada pada landasan untuk sesuatu yang penting. Ia adalah hasil bola sepak mereka."

Gaizka Toquero meletakkan Athletic di depan selepas sembilan minit sebelum Yaya Toure menyamakan kedudukan pada minit ke-32 berikutan larian solo dalam kawasan Athletic.

Barcelona mendominasi selepas itu dan Messi serta Krkic menjaringkan gol dalam tempoh dua minit dan Xavi melencongkan sepakan percuma pada minit ke-65.

Athletic, yang mara ke final pertama dalam 24 tahun, menghadapi kesukaran menyaingi lawan Catalan mereka dengan Barcelona menunjukkan mengapa ia berada di ambang memenangi liga hujung minggu ini dan akan menentang Manchester United dalam final Liga Juara-Juara pada 27 Mei.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails