Sir Alex Ferguson memberi amaran kepada Barcelona bahawa Manchester United kini ‘tidak sabar untuk final Liga Juara-Juara selepas berjaya meraih gelaran Liga Perdana Inggeris.
Keputusan seri tanpa jaringan dengan Arsenal di Old Trafford, kelmarin, cukup untuk skuad Ferguson memenangi liga buat menyamai rekod 18 kali kejayaan yang dipegang Liverpool .
Selepas menjamin gelaran ketiga berturut-turut, selain memiliki Piala Liga dan Piala Kelab Dunia musim ini, Ferguson kini menumpukan usaha melabuhkan tirai musim gemilang dengan merangkul gelaran Liga Juara-Juara kedua apabila United bertemu Barcelona di Rome, 27 Mei ini.
“Kini kami sudah menang liga, kami tidak sabar untuk final di Rome,” kata Ferguson ketika menikmati gelaran liga ke-11 baginya sejak mengemudi United pada 1986.
“Ia adalah aksi dinantikan semua orang di kelab ini dan ia memang tepat. Tetapi kami mahu menikmati detik ini terlebih dahulu. Ia pencapaian hebat dan saya perlu memuji perwatakan serta semangat pemain. Mereka memang menakjubkan.”
Beberapa pemain yang menentang Arsenal pasti direhatkan untuk aksi liga terakhir United sebagai persiapan untuk final paling berprestij di Eropah itu.
Edwin van der Sar, Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney dan Carlos Tevez tampak pasti disisihkan untuk aksi di Hull.
Ferguson, menghantar adiknya, Martin, untuk meneliti aksi Barcelona bertemu Mallorca, semalam, mencecah usia 68 tahun Disember ini dan ada spekulasi dia sudah sedia untuk berundur.
Tetapi dia bertegas menafikannya dan sudah bertekad untuk mengemudi United memenangi rekod gelaran ke-19 - lebih satu daripada musuh ketat mereka, Liverpool.
No comments:
Post a Comment