Tuesday, May 12, 2009

Nicol raih gelaran pertama

Menang mudah final Terbuka Kepulauan Cayman ke atas Natalie


NICOL ketika tewas kepada Natalie Grainger pada final Terbuka KL awal Mac lalu. Semalam dia menebus kehampaan itu di Terbuka Cayman.






PEMAIN skuasy wanita nombor satu dunia, Nicol David meraikan penampilan ke-50 dalam final jelajah profesional Wispa dengan kejayaan dalam Terbuka Kepulauan Cayman yang julung kali diadakan dan dalam proses membalas dendam atas kekalahan kepada pemain nombor dua dunia, Natalie Grainger dengan aksi skuasy terbaiknya, tahun ini.

“Saya gembira dengan (permainan saya) - saya bermain skuasy terbaik saya tahun ini dan mungkin juga tahun lalu,” kata Nicol dengan penuh kegembiraan selepas kejayaan 11-8, 11-6, 11-5 dalam tempoh 33 minit yang memberikan warga Pulau Pinang berusia 25 tahun itu gelaran ke-35 sepanjang kerjayanya - tetapi yang pertama tahun ini.

“Dia bermain dengan baik - tetapi dengan suasana secara keseluruhan, dengan apa yang berlaku kali terakhir kami bertemu, saya membawanya ke gelanggang dan ia membantu saya fokus,” kata Nicol, merujuk kepada kekalahan kepada pemain Amerika Syarikat itu dalam final Terbuka KL pada Mac, yang menamatkan rentetan 56 perlawanan tanpa kalahnya sepanjang 17 bulan.

“Mengetahui apa yang berlaku sebelum ini, anda mendapat idea apa yang perlu dilakukan, supaya ia tidak berlaku lagi. Dia bermain dengan baik sebelum ini tetapi saya betul-betul mahu bermain dengan baik hari ini (kelmarin).

“Kejohanan ini begitu hebat, dari segi pemandangan, kelab dan suasana. Dan (Kneipp, penganjur) sudah melakukan tugas baik - saya tidak sabar untuk pulang!”

Dengan empat gelaran jelajah miliknya, tahun ini, Natalie juga berada pada rentetan 19 perlawanan tanpa kalah menjelang final acara AS$37,500 (RM137,625) di Kelab Skuasy South Sound di Grand Cayman, Kepulauan Cayman.

“Saya membuat permulaan baik, tetapi gagal menguasai perlawanan. Saya agak tertekan apabila gagal menyempurnakan pukulan saya. Saya tidak mendapat jarak dalam pukulan saya.

“Tetapi dalam keadaan begini, Nicol sentiasa sukar untuk ditewaskan. Anda perlu berada pada puncak permainan. Saya hanya kecewa dengan kekalahan 3-0 itu.” katanya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails