HASIL campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ibu pejabat Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan kekal di Malaysia. Malah ia secara tidak langsung, dilihat sebagai membantu Presiden AFC, Mohamed Hammam.
Hammam jadi tidak popular di kalangan ahli gabungan AFC kerana ketegasannya untuk memindahkan AFC daripada Malaysia - destinasi yang diakui memang disukai oleh majoriti perwakilan.
Malah pendirian itu jadi antara sebab utama munculnya Presiden Bola Sepak Bahrain, Sheikh Salman Ebrahim Al-Khalifa, mencabarnya untuk kerusi Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).
Ramai pemerhati mengakui bahawa tindakan Hammam meminta agenda pemindahan itu dimansuhkan di awal Kongres AFC, Jumaat lalu, membantunya. Lihat sahaja tepukan gemuruh 46 wakil negara anggota apabila ia diumumkan.
Malah ia juga jadi punca Hammam mampu mengekalkan kerusi itu, dengan undi setipis 23-21. Saya bagaimanapun lebih suka melihatnya sebagai langkah penting demi memastikan benua Asia tidak berpecah belah.
Selepas ini, saya harap AFC mampu memfokuskan usaha untuk mengetengahkan lebih ramai pemain Asia untuk menjadi bintang di liga bola sepak utama dunia, seperti di Itali, Sepanyol, Jerman, Perancis, England ataupun Belanda.
Untuk mencapainya, aturkanlah terlebih dahulu peluang pendedahan berkualiti supaya pemain Asia tidak gentar apabila menentang lawan daripada benua Eropah.
Jika Afrika mampu melakukannya, dengan begitu berjaya memasarkan ramai pemain benua itu untuk membintangi barisan kelab utama dunia, Asia juga sudah tentu mampu melakukannya, terutama kerana memiliki kemudahan yang lebih baik.
U19s preview: Sporting CP v Arsenal
2 hours ago
No comments:
Post a Comment