Pengurus Real Madrid, Manuel Pellegrini berbangga dengan pemain sayap Portugal, Cristiano Ronaldo kerana pemain itu tidak pernah menganggap dirinya sebagai seorang bintang.
"Dia adalah seperti yang saya harapkan. Dia pemain pertama tiba di sesi latihan sebelum bersama dengan rakan lain dalam satu pasukan. Dia tidak berlagak seperti seorang bintang.
"Dia begitu berbakat tetapi imejnya seperti pemain biasa yang setia kepada Real Madrid. Ia jelas berbeza berbanding statusnya sebagai pemain terbaik dunia," kata Pellegrini.
Real menyempurnakan perpindahan Ronaldo dari Manchester United bulan lalu dengan kontrak selama enam tahun bernilai €94 juta (RM471 juta).
Ronaldo juga akan menerima bayaran sebanyak €13 juta (RM65 juta) setiap musim sekali gus menjadikannya pemain termahal di dunia.
Pemain berusia 24 tahun itu diperkenalkan secara rasmi kepada umum pada 6 Julai lalu dengan disaksikan 75,000 penyokong di Santiago Bernabeu.
Real membelanjakan sejumlah €200 juta (RM1 bilion) untuk membawa masuk pemain bertaraf bintang ke Bernabeu musim ini membabitkan perancang tengah Brazil, Kaka dan penyerang Perancis, Karim Benzema.
Justeru Pellegrini berharap skuad Real akan dapat disempurnakan menjelang hujung bulan ini.
"Lebih cepat lebih bagus. Pada 27 Julai adalah elok kerana pada masa itu pemain akan kembali daripada tugas negara masing-masing.
"Namun saya tidak bimbang apabila terpaksa menunggu sedikit masa lagi. Tiada tarikh tutup. Saya tahu apa yang diinginkan tetapi saya tidak mahu memilikinya untuk perlawanan pra musim pertama," katanya.
No comments:
Post a Comment