Sunday, July 5, 2009

Peluang baik buat Owen




OWEN (kiri) meninggalkan Hospital Bridgewater utara England selepas menjalani ujian perubatan sebelum menandatangani kontrak dua tahun dengan Manchester United, kelmarin.

Pulih imej tercalar, janji balas kepercayaan Ferguson

MANCHESTER: Michael Owen mengambil peluang terbaik untuk melonjakkan prestasinya dengan menyertai Manchester United dan berjanji membalas kepercayaan pengurus pasukan, Alex Ferguson yang memberinya platform untuk kembali menyinar bersama juara Liga Perdana Inggeris itu.

"Ia adalah peluang terhebat buat saya dan tentunya saya tidak mampu menolak," kata bekas penyerang England itu kepada laman web rasmi kelab (www.manutd.com) selepas meninggalkan kelab Liga Kejuaraan, Newcastle United.


"Saya berterima kasih kepada Sir Alex yang menaruh keyakinan kepada saya dan saya memberi jaminan akan membalas kepercayaannya menerusi jaringan dan persembahan saya," katanya selepas menjadi pemain pertama sejak Paul Ince pada 1997 yang pernah beraksi untuk Liverpool dan Manchester United.


Ketika tindakan Ferguson menawarkan kontrak dua tahun kepada bekas Pemain Terbaik Eropah itu dianggap satu perjudian, ia sebenarnya langkah yang tidak berisiko.

Owen menyertai kelab itu dengan perpindahan percuma dan media British melaporkan perjanjian berkenaan lebih disandarkan kepada kontrak insentif.

Selepas kehilangan penyerang, Cristiano Ronaldo dan Carlos Tevez pada musim panas ini, Ferguson pantas menyenaraikan buruan utamanya ke atas penyerang yang sudah terbukti kemampuan mereka untuk memberi saingan kepada Wayne Rooney dan Dimitar Berbatov.

Bekas penyerang Liverpool dan Real Madrid itu, yang kerap dibayangi kecederaan sejak beberapa tahun ini, jelas gembira dengan perpindahannya ke Old Trafford.

"Saya tidak dapat beraksi ketika persiapan pra-musim tahun lalu dan saya lega dapat berada di Carrington (gelanggang latihan United) mulai hari pertama," kata Owen.

"Saya sudah tak sabar menjadi pemain Manchester United dan bernasib baik mengenali beberapa pemain di sini."

Laporan media sebelum ini mengaitkan Owen dengan Hull City dan Stoke City, serta kelab-kelab di dasar Liga Perdana Inggeris, dan ia jelas satu kejutan buat pemain itu apabila dapat menyertai pasukan juara liga.

"Saya baru saja berbincang dengan beberapa kelab apabila Sir Alex menelefon Rabu lalu dan mengajak saya bersarapan dengannya keesokannya. Di situ dia menyatakan keinginan mendapatkan saya.

"Tanpa banyak berfikir, saya terus bersetuju," kata Owen, yang mempunyai 89 caps dan 40 jaringan antarabangsa sebelum diketepikan pengurus England, Fabio Capello.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails