Saturday, July 4, 2009

Kedatangan Albiol dirai peminat Real Madrid



Real Madrid kelmarin memperkenalkan secara rasmi seorang lagi bintang barunya iaitu pemain pertahanan antarabangsa Sepanyol, Raul Albiol yang baru dibeli selepas Kaka di Stadium Santiago Bernabeu. Dijangka selepas ini penyokong kelab itu bakal menyambut kedatangan Cristiano Ronaldo yang dibeli daripada Manchester United pula.

Ribuan peminat Real Madrid meraikan dengan gembira kedatangan pemain baru kelab itu, Raul Albiol ke era baru galactico, kelmarin.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu yang menandatangani koentrak selama lima tahun, bulan lalu dengan yuran perpindahan bernilai 15 juta euro diraikan di Stadium Santiago Bernabeu.

''Saya seronok berada di sini apatah lagi diraikan. Saya akan memberikan sepenuh usaha saya untuk membolehkan kelab ini menjulang kejuaraan,'' katanya.

Stadium yang boleh memuatkan 80,000 penonton itu dijangka penuh dalam majlis memperkenalkan Cristiano Ronaldo, Isnin ini.

Albiol, 23, telah menghabiskan masa selama lima musim bersama Valencia dan sepanjang tempoh itu, dia telah menjaringkan tujuh gol dalam 173 penampilan.

Sebelum berhijrah ke Valencia dan membantu kelab itu menjuarai Copa del Rey 2008, Albiol adalah pemain Getafe.

''Ini adalah satu tanggungjawab,'' kata Albiol tentang peranannya dalam skuad kebangsaan Sepanyol.

Albiol adalah pemain pertama daripada kelab utama Sepanyol yang dibawa masuk oleh presiden Florentino Perez yang mahu melonjakkan semula Real yang sarat dengan masalah musim lalu.

''Kami sedang membina satu pasukan yang kuat untuk memastikan impian kami tercapai,'' kata Florentino.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails