Sunday, July 5, 2009

Real ingin cari 2 pemain lagi,mahu jual 10 lagi


Real Madrid memerlukan dua orang lagi pemain baru dan menyingkirkan 10 yang lain untuk melengkapkan urusan perpindahan, kata presiden kelab tersebut, Florentino Perez, kelmarin.

Juara sembilan kali Kejohanan Eropah itu telah pun membelanjakan 215 juta euro untuk membawa masuk penyerang, Karim Benzema, Cristiano Ronaldo (sayap), Kaka (tengah) dan pemain pertahanan, Raul Albio ke Bernabeu.

''Buat masa sekarang kami perlahankan aktiviti ini (beli pemain) sebab satu pasukan bola sepak lazimnya memilki 25 pemain tetapi kami ada 35 orang.

''Apa yang perlu kami buat ialah melihat situasi ini dengan memujuk beberapa pemain bahawa mereka terpaksa meninggalkan kelab ini. Apatah lagi kejohanan Piala Dunia semakin hampir dan ramai daripada pemain kami akan beraksi.

''Jika ada pemain yang tidak mendapat peluang beraksi di kelab ini (kesebelasan utama), sudah tentu mereka mahu melakukannya di kelab lain bagi membolehkan mereka beraksi dalam Piala Dunia.

''Untuk makluman, kami akan mendapatkan dua lagi pemain dan ia akan mencukupi,'' ujarnya.

Perez ditanya tentang usaha Real memancing pemain Bayern Munich, Franck Ribery dan pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso.

''Kedua-duanya adalah pemain hebat tetapi kelab tempat mereka bermain tidak mahu melepaskan mereka,'' jelasnya.

Setakat ini Real telah menjual Javier Saviola manakala kumpulan pemain Belanda, Ruud van Nistelrooy, Arjen Robben, Wesley Sneijder, Rafael van der Vaart, Royston Drenthe dan Klaas Jan Huntelaar telah memasuki bidaan untuk dijual.

No comments:

Post a Comment

Related Posts with Thumbnails