|
|
Pada 1981, K. Rajagobal merupakan antara pemain yang beraksi untuk skuad Pilihan Selangor menentang Manchester United di Stadium Merdeka, di sini.
Ketika itu, United dibarisi pemain seperti Gary Bailey, Steve Coppel dan ketua pasukan Martin Buchans.
Skuad Selangor turut diwakili penyerang tersohor Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R. Arumugam, Santokh Singh, Reduan Abdullah serta beberapa pemain lain.
Keputusan perlawanan tersebut memihak kepada United yang menang 3-0.
Namun, bagi Rajagobal, pertembungan nostalgia hampir tiga dekad lalu masih segar dalam ingatannya.
''Kira-kira 28 tahun lalu, saya beraksi sebagai pemain ketika menentang United, namun pada perlawanan esok, saya merupakan jurulatih skuad kebangsaan.
''Ia akan menjadi pertembungan berbeza berbanding 28 tahun lalu.
''Apa yang saya harapkan, perlawanan esok berlangsung dengan menarik. Kami menghormati Manchester United.
''Biarlah para pemain saya melaksanakan tugas mereka. Biarlah mereka menikmati perlawanan dengan pemain bergelar bintang.
''Saya juga berharap para pemain mengambil kesempatan dengan mempelajari sesuatu daripada perlawanan esok," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kali terakhir United mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan pada 2001 di mana United menang 6-0.
Mengenai perlawanan hari ini, Rajagobal berkata, ini merupakan kali pertama pasukan negara menurunkan skuad muda dalam persahabatan dengan United.
''Pada 2001, kita menurunkan skuad senior dan kita kalah 0-6.
"Cuma saya berharap para pemain beraksi dengan penuh yakin dan melaksanakan semua arahan yang berikan," katanya.
No comments:
Post a Comment