Cristiano Ronaldo mempamerkan permainan mengecewakan dalam penampilan sulung bersama Real Madrid di tempat sendiri menentang kelab Arab Saudi, Al Ittihad, kelmarin.
Seramai 80,000 penonton membanjiri Santiago Bernabeu ketika bintang bola sepak Portugal itu diperkenalkan pada awal bulan ini, namun semalam suku daripada tempat duduk stadium kosong ketika Real hanya mampu seri 1-1 dengan Al Ittihad dalam perlawanan Piala Keamanan.
Ronaldo yang dibeli dengan bayaran rekod dunia 93 juta euro (RM473 juta) daripada Manchester United, hanya melakukan satu percubaan bahaya pada babak pertama.
Namun, secara keseluruhan, kehadirannya kurang berkesan sebelum digantikan oleh pemain Belanda, Arjen Robben ketika perlawanan tinggal 25 minit untuk ditamatkan.
Raul membuka jaringan Real pada awal separuh masa kedua selepas penyerang veteran itu menerima hantaran silang Karim Benzema.
Bagaimanapun, Hecham Aboucharoan berjaya menyamakan kedudukan buat Al Ittihad di minit ke-64 selepas tandukannya gagal diselamatkan penjaga gol Real, Jerzy Dudek.
Esteban Granero, yang turut membuat penampilan sulung buat Real di Bernabeu melepaskan dua rembatan cantik dari jarak jauh, namun bola terkena palang.
Menanti Real dalam perlawanan kedua Piala Keamanan adalah kelab Ecuador, Liga de Quito hari ini.
Kejohanan itu turut disertai kelab Itali, Juventus, Olympique Lyon (Perancis) dan pasukan Liga Perdana England, Aston Villa.
No comments:
Post a Comment